DUNIA

AGENSI PBB GESA JEDA KEMANUSIAAN DI GAZA UNTUK KEMPEN VAKSINASI POLIO

17/08/2024 12:25 AM

GENEVA, 16 Ogos (Bernama-WAM) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa jeda kemanusiaan selama tujuh hari di Semenanjung Gaza bagi membolehkan kempen vaksinasi polio dua pusingan untuk lebih 640,000 kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.

WHO dalam satu kenyataan yang diedarkan di Geneva pada Jumaat memaklumkan bahawa dua pusingan kempen vaksinasi polio dijangka dilancarkan pada penghujung Ogos dan September 2024 di seluruh Semenanjung Gaza.

Ini bagi menghalang penularan virus polio varian jenis 2 (cVDPV2) di wilayah berkenaan, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Jeda kemanusiaan itu akan membolehkan kanak-kanak dan keluarga mereka mengakses kemudahan kesihatan dengan selamat, dan membolehkan petugas khidmat masyarakat memberi vaksinasi kepada kanak-kanak yang tidak dapat ke kemudahan itu. 

Semasa setiap pusingan kempen, Kementerian Kesihatan Palestin (MoH) dengan kerjasama WHO, UNICEF, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan rakan kongsi, akan memberikan dua titisan vaksin polio oral baharu.

Lebih 1.6 juta dos nOPV2 yang digunakan untuk menghentikan penularan cVDPV2 akan dihantar ke Semenanjung Gaza.

Penghantaran vaksin dan peralatan rantai sejuk dijangka melalui Lapangan Terbang Ben Gurion sebelum tiba di Semenanjung Gaza pada akhir Ogos. Adalah penting bahawa pengangkutan vaksin dan rantai sejuk dipermudahkan untuk memastikan penerimaan, pelepasan, dan penghantaran yang tepat pada masanya untuk kempen itu.

Menurut WHO, sekurang-kurangnya 95 peratus perlindungan vaksinasi diperlukan dalam setiap pusingan kempen untuk mencegah polio daripada merebak dan muncul semula disebabkan sistem kesihatan, air dan sanitasi yang terjejas teruk di Semenanjung Gaza.

WHO turut menyatakan bahawa keperluan lain untuk kejayaan kempen itu termasuk wang tunai yang mencukupi, bahan api, dan rangkaian telekomunikasi berfungsi untuk menyampaikan maklumat mengenai kempen itu kepada komuniti.

-- BERNAMA-WAM

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan