AM

PREMIS BANK DI JALAN GAYA JADI DESTINASI POPULAR PELANCONG

18/08/2024 01:08 PM

Oleh Nor Farah Aqilah Mohd Sham

KOTA KINABALU, 18 Ogos (Bernama) -- Premis sebuah bank di Jalan Gaya di sini menjadi destinasi popular dalam kalangan pelancong apabila dijadikan latar belakang untuk bergambar bagi dimuat naik di media sosial.

Lokasi itu banyak dikongsi di platform media sosial seperti Xiaohongshu, menjadikan tempat berkenaan dan Kota Kinabalu sebagai destinasi yang wajib dilawati.

Masyarakat setempat yang sebelum ini hanya melewati kawasan itu juga kini tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar selepas lokasi berkenaan dikunjungi ramai pelancong dan menjadi sohor kini di media-media sosial.

Huang Hui Yu, seorang pegawai bank berusia 28 tahun dari China bersama rakan-rakannya teruja kerana dapat bergambar di lokasi itu selepas dikongsi pempengaruh di negara berkenaan meskipun tidak mengetahui bangunan itu premis cawangan sebuah bank yang tidak lagi beroperasi.

"Kami merancang untuk datang ke Jalan Gaya ini tetapi sepanjang perjalanan, kami melihat keindahan Kota Kinabalu dan jatuh cinta dengan bandar raya ini, sudah tentu saya akan datang lagi ke sini terutama untuk menikmati makanan yang lazat," katanya kepada Bernama.

Seorang pelajar dari China Alex Lee, 20, merasakan setiap detik yang dihabiskan di Sabah umpama mimpi yang menjadi kenyataan selepas bertandang ke Jalan Gaya dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata pengalaman yang sering dikongsikan netizen di media sosial membuatkan dia tidak sabar untuk melihat sendiri keindahan dan hospitaliti yang ditawarkan Kota Kinabalu.

Rakannya Maggie Ngu, 18, berkongsi keterujaan yang sama meskipun terpaksa menerokai tempat-tempat menarik dalam cuaca panas terik.

"Semua orang di media sosial mengatakan tempat ini cantik dan apabila kami datang ke sini, ia benar-benar cantik, jadi kami pasti akan datang lagi," katanya.

Seorang penduduk tempatan Collins Maralu, 29, turut ditemui sedang bergambar dengan rakan-rakannya di Jalan Gaya kerana tidak mahu ketinggalan dengan trend popular itu.

Dalam pada itu, Pegawai Unit Polis Pelancong Lans Koperal Malati Naim berkata polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan berkenaan bagi memastikan pengunjung dapat menikmati percutian dengan selamat.

Selain itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut memainkan peranan bagi mengekalkan daya tarikan di bandar raya itu termasuk di Jalan Gaya.

DBKK dalam satu kenyataan menyebut operasi pembersihan di Jalan Gaya telah dilakukan baru-baru ini sebagai antara inisiatif memastikan Kota Kinabalu kekal bersih dan menarik bagi pengunjung dari seluruh dunia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan