POLITIK

PRK NENGGIRI : 'FIRST FLIP' KEMBALIKAN MOMENTUM SOKONGAN PH-BN - PENGANALISIS

18/08/2024 02:10 PM

Oleh Rosmalis Anuar & Mohd Noor Iqram Rosli

GUA MUSANG, 18 Ogos (Bernama) -- Landskap politik negara jelas menunjukkan perubahan, terutama dari kalangan pengundi Melayu, dan momentum sokongan pada masa hadapan, selepas menyaksikan ‘flip’ pertama, kerusi bertukar tangan, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Nenggiri, semalam.

Biarpun bertanding di ‘gelanggang’ pasukan lawan, Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan bukan sahaja tidak tenggelam dilanggar badai ‘gelombang hijau’ malah menang bergaya dengan majoriti meyakinkan.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat kemenangan itu memberikan UMNO nafas baharu dengan motivasi untuk mengekalkan momentum dan kembalikan sokongan, terutama dalam kalangan penyokong tegar mereka.

"UMNO turun dengan misi ‘do or die’ di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat mereka. Strategi meletakkan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK itu amat signifikan kerana ia mengubah pendekatan berkempen dan mengutamakan kekuatan calon.

"Bagi Perikatan Nasional, kemenangan ini tidak menjejaskan kedudukan mereka di negeri tersebut, tetapi ia sebenarnya merupakan isyarat agar mereka tidak terlalu selesa dengan beberapa siri kemenangan di kawasan majoriti Melayu sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi.

Daripada sembilan PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, lapan daripadanya menyaksikan status quo iaitu Kuala Terengganu (PN), Simpang Jeram (PH), Pulai (PH), Pelangai (BN), Jepak (GPS), Kemaman (PN), Kuala Kubu Baharu (PH) dan Sungai Bakap (PN).

Turut senada, Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpendapat bahawa sokongan Melayu terhadap BN-PH telah dipulihkan dengan kemenangan di DUN luar bandar itu, yang mempunyai kira-kira 86 peratus pengundi melayu.

"Banyak faktor yang boleh dirungkaikan melalui kejayaan tersebut, tetapi pucuk pangkalnya adalah keyakinan pengundi terhadap kerjasama parti gabungan dalam kerajaan Perpaduan, yang semakin dipercayai dari segi ekonomi, pengangguran, inflasi dan mata wang ringgit.

"Walaupun BN tidak mempunyai manifesto, mereka tetap dapat sokongan baik daripada pengundi dan tidak menjanjikan bulan dan bintang seperti PAS," katanya.

Sementara itu, Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata kemenangan bergaya BN di Nenggiri semalam adalah satu tamparan hebat kepada PAS, walaupun kawasan itu asalnya kubu kuat UMNO sebelum tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan tahun lepas.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata strategi BN yang memberi persepsi bahawa PRK itu adalah pertembungan antara UMNO dan PAS, dan bukannya antara BN dan PN, turut menyumbang kepada kemenangan parti gabungan berkenaan.

"Ini strategi yang dibuat sebelum kempen oleh (Tan Sri) Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa ini adalah perjuangan UMNO sebenarnya," katanya.

Azmi turut bersetuju kemenangan di Nenggiri memberi momentum kepada BN dan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi PRK DUN Mahkota, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan