AM

KEMENTERIAN EKONOMI SOKONG PENUH REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM

18/08/2024 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Ekonomi akan bekerjsama memastikan hasrat murni Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasi perkhidmatan awam diterjemahkan di peringkat kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penjawat awam sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan, dan anjakan paradigma dari segi tingkah laku serta pemikiran dengan tujuan meningkatkan daya saing negara.

Menurut kenyataan itu Kementerian Ekonomi menyambut baik kenyataan Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19  pada 16 Ogos lepas.

“Hasrat Perdana Menteri yang mahu reformasi perkhidmatan awam berjalan dengan penegasan khusus ke  atas aspek produktiviti dan kecekapan perkhidmatan amat dialu-alukan.

“Kerajaan Malaysia komited untuk mereformasi perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis amanat itu berkata Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis ini, mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Beliau berkata tiga ikhtiar untuk menjayakan reformasi itu ialah meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam; meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan; dan meningkatkan daya saing negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan