SUKAN

SUKMA 2024: WAKIL SARAWAK ANSON, MIRABEL JUARA GOLF SUKMA 2024

18/08/2024 09:03 PM

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Dua bintang muda Sarawak  berada di kelas tersendiri apabila Anson Yeo Boon Xiang dan Mirabel Ting masing-masing dinobatkan juara bagi kategori lelaki dan wanita  pada kejohanan golf Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kelab Golf Sarawak di sini hari ini.

Memulakan saingan dengan ketinggalan dua pukulan, Anson mempamerkan aksi menakjubkan pada pusingan terakhir dengan merakamkan satu bawah 71 untuk mengatasi pendahulu Muhammad Ajmal Amin Mohd Fajri dengan kelebihan tiga pukulan.

Pemain berusia 18 tahun itu merangkul emas dengan jumlah catatan enam bawah 210 pukulan selepas melakarkan 71 dan 68 pada dua pusingan terdahulu manakala Ajmal Amin dari Selangor membawa pulang gangsa dengan empat atas par 76 untuk jumlah 213 (74-63-76).

Pingat gangsa menjadi pemain pemain Perak Andrew Yap dengan satu atas 217 (74-73-70).

Ajmal Amin, bagaimanapun, membantu Selangor mempertahankan emas acara berpasukan dengan bersama-sama Poon Jia Hao, Austin Gan dan Ezekiel Riz Hafi Suzearitz mencatatkan jumlah 659 pukulan.

Sarawak membawa pulang pingat perak dengan barisan diketuai Anson, Joshua Lim, Cayden Kong dan Wesley Chai mengumpul 666 pukulan manakala pingat gangsa menjadi milik pasukan Perak dibarisi Andrew, Aiden Tai John Roberts, Lim Hao Yu dan Mohammad Rafiq Nadzimi Ramlan melakarkan 669 pukulan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Anson berkata beliau tidak menjangka dapat merangkul dua pingat dalam penampilan sulungnya dan bersyukur penglibatan dalam sukan itu sejak berusia lima tahun akhirnya membawa kepada perhatian umum.

"Saya sangat gembira untuk menang di hadapan penonton di laman sendiri...mereka benar-benar mendorong saya untuk bangkit  mengejar kedudukan pendahulu dan saya cuba melakukan birdie sebanyak mungkin.

"Kemungkinan akan mempertahankan gelaran pada SUKMA akan datang tetapi bergantung kepada jadual dan sama ada saya menjadi pemain profesional (pro).

"Sepatutnya saya menjadi pemain pro tahun in tetapi mengubah rancangan untuk kekal amatur untuk satu atau dua tahun akan datang,”katanya.

Sementara itu, Mirabel mengekalkan penguasaan sejak pusingan pertama untuk mengatasi wakil Perak Wang Xin Yao dengan kelebihan 10 pukulan selepas mencatatkan 206 pukulan (69-67-70) manakala Xin Yao dengan 216 (73-73-70) untuk pingat perak.

Pingat gangsa menjadi milik pemain Wilayah Persekutuan Ng Jin Xuen dengan jumlah dua atas par 218 (73-71-74).

Emas acara berpasukan wanita dimenangi skuad Perak dibarisi Xin Yao, Nur Diana Syafiqah Abdullah, Siti Nur Husna Aina Abd Karim dan Nurul Adawiyah Ab Jalil dengan jumlah 676.

Selangor (Foong Zi Yu, G. Aarthi, Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, G. Kaathiyayani )membawa pulang pingat  perak manakala Sarawak (Mirabel, Sharifah Aiysyah Tijan Syed Fazil, Abigail Kedung Pearson) gangsa selepas kiraan semula (OCB) apabila masing-masing terikat dengan jumlah catatan 688 pukulan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan