AM

FOOD BAYANA : HAB MAKANAN SEMI AUTOMATIK PERTAMA MALAYSIA

19/08/2024 07:59 PM

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Pelanggan hanya perlu memesan makanan di kaunter dan robot akan membawa makanan itu ke tingkat atas dengan menggunakan lif khas.

Makanan kemudiannya diletakkan di rak khas dan pelanggan akan menerima notifikasi telefon menandakan pesanan makanan mereka sudah siap.

Beginilah canggihnya medan selera semi automatik negara yang pertama dan hab makanan berteknologi tinggi ini, Food Bayana yang terletak di kawasan perindustrian Bayan Lepas, menggabungkan inovasi moden dan alam semula jadi di dalam bangunan mesra alam tetapi lengkap dengan teknologi robotik dan digital.

Pengerusi Food Bayana Datuk Chua Choo Bin berkata terdapat cabaran ketika medan selera ini hendak dibangunkan kerana kawasan yang sempit dan satu-satunya penyelesaian inovatif adalah dengan memaksimumkan penggunaan ruang pada kawasan yang hanya seluas 25,000 kaki persegi.

“Satu-satunya pilihan yang kami ada ialah membina bangunan dua tingkat, dengan gerai makanan ditempatkan di tingkat bawah dan tempat makan di atas, reka bentuk yang kemudiannya mendatangkan cabaran bagaimana untuk menghantar makanan kepada pelanggan yang berada di tingkat atas. 

“Bagi menyelesaikan masaalah ini, kami memperkenalkan penggunaan robot yang bergerak di antara tingkat dengan menggunakan lif,’’ katanya yang ditemui pada pelancaran medan selera itu hari ini.

Chua berkata akhirnya mereka menghantar makanan pelanggan dengan meletakkan makanan pada rak khas dan notifikasi melalui telefon akan dihantar kepada pelanggan.

Beliau berkata inovasi ini berjakan dilaksanakan hasil kerjasama Pentamaster Corporation Berhad yang pakar dalam bidang automasi, khususnya dalam sistem penghantaran dan penyimpanan, yang menghasilkan rekaan robot penghantar makanan.

Dengan kos pembinaan kira-kira RM30 juta, medan selera berkonsep terbuka ini menempatkan 31 gerai makanan terkenal Pulau Pinang, termasuk tersenarai oleh ‘Michelin’, seperti Asam Laksa popular Penang Road.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada perasmian medan selera ini hari ini memuji Food Bayana kerana menggabungkan sistem pembayaran digital dan teknologi robotik untuk menghantar makanan kepada pelanggan.

“Saya yakin projek ini akan memberi nilai tambah kepada kawasan sekitar dan menjadi projek ikonik yang boleh dilaksanakan di kawasan perindustrian yang lain,’’ katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan