EKONOMI

YX PRECIOUS METALS PEROLEH KELULUSAN SC PINDAH KE PASARAN UTAMA

19/08/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- YX Precious Metals Bhd (YXPM) telah menerima kelulusan Bursa Malaysia untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama di bawah sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemborong dan pengilang barang kemas daripada emas itu mengumumkan kelulusan itu diperoleh menerusi surat bertarikh 19 Ogos, dan pemindahan secara rasmi adalah pada 22 Ogos, dua hari pasaran selepas pengumuman itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan YXPM Ng Sheau Chyn menyatakan kegembiraan syarikat dengan kejayaan ini, sambil menyatakan bahawa langkah itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan dan dedikasinya untuk menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan.

“Perpindahan ke Pasaran Utama ini akan meningkatkan profil syarikat kami dan memberi kami peluang yang lebih besar untuk berinovasi dan mengembangkan lagi perniagaan kami dalam sektor barang kemas daripada emas,” katanya.

YXPM membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE pada 23 Jun 2022.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan