AM

MENUJU KEDUDUKAN KE-25 CPI : PERJUANGAN MALAYSIA MEMERANGI RASUAH

20/08/2024 02:18 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan yakin Malaysia mampu mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 sekiranya kerajaan dan rakyat bersatu memerangi rasuah di negara ini.

Beliau berkata ini kerana untuk mencapai kedudukan ke-25 dalam CPI seperti yang disasarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh tersebut, memerlukan penggemblengan usaha dan komitmen daripada semua pihak.

“Dalam tempoh sembilan tahun ini hingga 2033, perlu ada perubahan holistik dan ini memerlukan kerjasama daripada semua sektor - awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik,” katanya kepada Bernama sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Muhammad berkata walaupun terdapat kemajuan dalam usaha kerajaan memerangi rasuah namun penilaian global menunjukkan bahawa pencapaian Malaysia dalam CPI masih kurang memuaskan.

Menurut Muhammad, sejak 2012, pencapaian Malaysia dalam CPI tidak konsisten, dengan skor berada dalam lingkungan 47 hingga 53.

Skor CPI merujuk kepada skala dari 0, yang dianggap sangat korup, hingga 100 yang dianggap sangat bersih.

Pada 2019, Malaysia mencapai skor tertinggi dengan 53 mata, tetapi pencapaian itu menurun dalam tahun-tahun berikutnya, terutamanya selepas ketidakstabilan politik dari 2020 hingga 2022.

Muhammad berkata disebabkan markah yang tidak meningkat secara ketara, kedudukan Malaysia dalam CPI berada dalam lingkungan antara 57 hingga 62 dalam tempoh 2020 hingga 2022, daripada 180 negara yang dinilai.

Pada 2023, Malaysia berada di kedudukan 57, berbanding kedudukan ke-61 pada tahun sebelumnya.

Justeru, Muhammad berkata bahawa beliau optimis keazaman Anwar untuk meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 dalam CPI dapat dicapai sekiranya beberapa pindaan akta yang dicadangkan kerajaan ke arah itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, ini termasuk pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, serta penggubalan Akta Pendanaan Politik dan Akta Perolehan Kerajaan.

Menurut Muhammad, pemisahan kuasa antara peguam negara dengan pendakwa raya, reformasi Parlimen, dan pelaksanaan penuh Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028 juga boleh membantu Malaysia mencapai sasaran ke-25 dalam CPI tersebut.

"Bukan saja perubahan dalam reformasi institusi, tetapi juga tatakelola yang baik, kecekapan dalam pentadbiran, ketelusan dan yang penting akauntabiliti.

“Jika semua ini berlaku serentak, saya percaya kita masih ada harapan untuk mencapai sasaran Perdana Menteri, iaitu kedudukan ke-25 dalam CPI menjelang 2033," katanya.

Beliau berharap Kerajaan MADANI dapat mempercepatkan pelaksanaan reformasi, manakala rakyat perlu memainkan peranan aktif dalam menentang rasuah.

“Kesedaran dan keberanian untuk melaporkan rasuah serta melaksanakan reformasi institusi adalah langkah penting dalam memastikan keadilan dan integriti dalam pentadbiran negara,” katanya.

Muhammad dalam pada itu berharap semangat kemerdekaan pada tahun ini dapat disemarakkan dengan semangat berani rakyat untuk bersama-sama menentang jenayah rasuah dan salah laku.

Beliau berkata isu rasuah tidak boleh diselesaikan oleh SPRM atau Perdana Menteri sahaja, sebaliknya, setiap pihak mempunyai tanggungjawab sendiri.

“Ertinya, jika kita mengetahui sesuatu tidak betul, rasuah berlaku, kita perlu bersuara, membuat laporan kepada SPRM dan sebagainya, kita perlu berani.

"Rakyat perlu bersatu, walaupun kita berbeza agama, bangsa, kita harus memahami bahawa kita mempunyai satu musuh dan musuh kita adalah rasuah,” katanya.

Muhammad berkata jika dahulu rakyat mampu bersatu melawan penjajah, kini rakyat perlu bersatu melawan musuh negara, iaitu rasuah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan