AM

JPKSN TELTI KERTAS PEMBENTANGAN KAWALAN DAN PENGUATKUASAAN SEMPADAN NEGARA

21/08/2024 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) --  Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara (JPKSN) melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan dengan kawalan dan penguatkuasaan sempadan negara telah mengangkat kertas-kertas pembentangan untuk diteliti.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu hantaran di Facebooknya memaklumkan antaranya melibatkan peruntukan RM1 billion bagi pembangunan sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Sepertimana kita maklum berhubung perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, maka Malaysia juga perlu lebih proaktif dan bersedia dengan pelbagai perubahan yang bakal berlaku di rantau ini," katanya.

Beliau berkata mesyuarat JPKSN Bil-2 di Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dipengerusikannya hari ini,  turut meneliti cadangan tapak strategik bagi pembinaan Pos Kawalan Sempadan baharu serta yang sedia ada, selain pembangunan sempadan bagi Bukit Kayu Hitam-Sadao serta Rantau Panjang-Golok.

Katanya, mesyuarat tersebut juga membuat ketetapan terhadap perkara berbangkit berkaitan  dasar keselamatan di sempadan negara.

-- BERNAMA


 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan