AM

BUKIT DINDING: AMBIL KIRA ASPEK TEKNIKAL, SAINTIFIK SEBELUM DIJADIKAN GEOTAPAK - NIK NAZMI

22/08/2024 09:56 AM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sebarang usaha untuk menjadikan Bukit Dinding yang terletak di Wangsa Maju sebagai geotapak perlu mengambil kira faktor teknikal dan saintifik untuk menyokong cadangan tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun perlu dipastikan bahawa kawasan itu mempunyai warisan geologi yang signifikan, bernilai saintifik serta keunikan tersendiri.

“Kementerian menyambut baik cadangan untuk menjadikan Bukit Dinding sebagai geotapak, namun ia perlu mengambil kira faktor dan aspek teknikal serta saintifik yang mendukung terhadap cadangan itu.

“Selain menjadikan geotapak, pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk melindungi warisan geologi di sesuatu kawasan itu antaranya lokasi singkapan batuan terbaik yang telah dikenal pasti direkodkan sebagai lokasi rujukan dan pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Bernama sebelum ini melaporkan Bukit Dinding merupakan batuan tertua di Kuala Lumpur yang terdiri daripada Syis Dinding dengan usia sekitar 479 juta tahun, melangkaui usia formasi batu kapur dan Syis Hawthornden.

Kajian yang dilakukan Prof Madya Dr Mustafa Kamal Abdul Aziz itu turut mencadangkan supaya Bukit Dinding dijadikan geotapak sebagai usaha melestari khazanah ekologi keseluruhan yang masih ada di kawasan hijau itu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata berdasarkan peta geologi Semenanjung Malaysia yang diterbitkan Jabatan Mineral dan Geosains pada 2014, formasi Syis Dinding atau Syis Hawthornden bukan sahaja wujud di Bukit Dinding tetapi turut meliputi kawasan sekitar termasuk di Desa Tun Hussein Onn-Setiawangsa-Bukit Melawati-Ampang Jaya.

“Formasi ini terdiri daripada batuan jenis Syis kuarza-mika, syis berkarbon dan filit yang berusia Paleozoik Bawah (550-420 juta tahun). Singkapan batuan ini boleh ditemui di sekitar kawasan yang dinyatakan dan tidak hanya unik di Bukit Dinding,” katanya.

Nik Nazmi berkata pihaknya sedang berusaha untuk mewartakan kawasan Bukit Dinding sebagai hutan simpanan kekal (HSK) di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] untuk memastikan kawasan tersebut dikekalkan sebagai kawasan hijau selain berfungsi sebagai ‘green lung’ bagi kawasan sekitarnya.

“Kawasan Bukit Dinding yang diwartakan sebagai HSK kelak akan dikelaskan sebagai hutan terbuka untuk tujuan rekreasi dan lipur bagi memastikan aktiviti rekreasi yang dijalankan di kawasan tersebut pada masa ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat dan orang awam,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan