EKONOMI

OCBC BANK BERPERANAN PENTING DALAM PERALIHAN TENAGA

22/08/2024 10:53 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- OCBC Bank Singapura yakin mempunyai peranan penting untuk membolehkan pembangunan mampan dan menyokong peralihan tenaga yang adil dengan menawarkan modal kepada projek dan syarikat yang menyumbang secara langsung terhadap peralihan meyakinkan.

Ketua Pejabat Kemampanan bagi Perbankan Borong Globalnya, Jeong Yoon Mee berkata tindakan iklim dan pemacu kemampanan yang lebih luas menentukan industri dan pasaran di mana pelanggan OCBC berada.

Katanya ini termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), justeru mewujudkan risiko dan peluang perniagaan yang muncul.

Menurutnya OCBC berhasrat untuk bekerjasama dengan pelanggan dalam peralihan kumpulan itu, dengan bersama-sama mencipta penyelesaian yang boleh dipraktikkan, mendorong tindakan yang tepat pada masanya dan menawarkan pembiayaan peralihan yang boleh digunakan.

"Sebagai sebuah bank, impak terbesar kami adalah daripada aktiviti pelanggan yang kami berikan pembiayaan. Kami mengakui keperluan melaksanakan peralihan.

“Inilah faktor mengapa bank telah menetapkan sasaran sifar bersih terhadap pelepasan yang kami biayai untuk mencipta hala tuju kita dalam perjalanan ini," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024.

Menurut Jeong, bagi menyokong peralihan itu, bank itu akan membiayai dan mempromosikan lebih banyak tenaga boleh baharu (TBB), aktiviti karbon lebih rendah dan projek kecekapan tenaga seperti bangunan lebih lestari dan menambah baik kemudahan sedia ada.

Sehingga suku kedua 2024, aset pembiayaan mampan OCBC berjumlah SG$63 bilion yang merentas pasaran dan sektor, melebihi sasaran S$50 bilion menjelang 2025 iaitu lebih awal berbanding yang dijadualkan.

Di peringkat global, bank itu menawarkan lebih 100 pinjaman hijau dan berkaitan kemampanan kepada pelanggan pada 2023 dan menyarankan lebih 70 pinjaman berkaitan kemampanan.

Langkah ini sekali gus menyokong kedudukannya sebagai rakan kongsi kewangan mampan yang dipercayai pelanggan dan sebagai  bank penyelaras kemampanan terkemuka di Asia, kecuali Jepun melalui pembiayaan alam sekitar.

Ia juga telah mendahului dari segi pembiayaan mampan PKS, memanfaatkan rangka kerja kewangan mampan PKS yang dilancarkan bank itu pada 2020.

Mengenai pembiayaan inovatif OCBC, Jeong berkata antara pembiayaan itu adalah pinjaman OCBC 1.5°C untuk memberi insentif kepada korporat agar komited kepada hala tuju penyahkarbonan sifar bersih berasaskan sains yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Bank itu berjaya menawarkan pinjaman OCBC 1.5°C kepada pelanggan di Singapura dan berhasrat melanjutkan penyelesaian pembiayaan itu ke Malaysia.

"Ini sangat mencabar dan bukan untuk semua kerana ia untuk mereka yang bersedia terlibat dalam trajektori 1.5°C...tetapi kami memulakan perjalanan ini kerana percaya ia adalah penanda aras tepat untuk menyasarkan mencapai sifar bersih untuk semua, dan kami mahu mengiktiraf pemimpin kemampanan yang sebenar.

“Sebagai sebuah bank Asia, kami komited untuk bekerjasama dengan pelanggan dalam perjalanan ini dan menyumbang kepada masa depan mampan di rantau ini. (Kami) gembira menyaksikan banyak tindakan daripada korporat dan kerajaan untuk masa depan sifar bersih dan peralihan tenaga Malaysia.

“Kami memberikan komitmen sepenuhnya untuk memanfaatkan kepelbagaian perniagaan kami bagi menyalurkan modal ke arah inisiatif mampan yang menggalakkan ekonomi Malaysia lebih lestari,” katanya.

Jeong berkata perjalanan untuk mencapai sifar bersih berdepan cabaran dan mungkin memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak berkepentingan bagi membolehkan peralihan yang diperlukan pada skalanya dan tepat pada masa.

Beliau berkata OCBC Bank menyifatkan keadaan ini sebagai peluang untuk mengukuhkan kerjasama kepada pelanggan dengan membimbing mereka mengenai peralihan meyakinkan di samping menawarkan penyelesaian perbankan peralihan yang inovatif.

Sementara itu, ISES 2024 akan berperanan penting terhadap sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus campuran TBB dalam penjanaan kuasa menjelang 2050. 

Sidang kemuncak itu menggariskan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mencapai keneutralan karbon menjelang tahun yang sama.

Bertemakan “Memperkasakan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi,” ISES 2024 yang dianjurkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, mencerminkan dedikasi Malaysia untuk mendorong peralihan tenaga global melalui pendekatan dan teknologi inovatif bagi memacu proses peralihan tenaga.

Ia dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan dikendalikan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan