SUKAN

AARON-WOOI YIK TERIMA GANJARAN SHAKAM RM100,000 SEORANG

22/08/2024 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik masing-masing dianugerahkan RM100,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai mengiktiraf kemenangan pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan bahawa kerajaan, melalui Majlis Sukan Negara (MSN), memutuskan untuk menggandakan ganjaran kepada RM100,000 setiap seorang, berbanding RM50,000 yang diberikan selepas mereka memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020.

“Kedua-dua mereka berjuang sama kuat. Buat masa ini, kami mengambil perkara ini sebagai kes mengikut kes dahulu (memberi RM100,000 setiap seorang). Ini merupakan kali kedua mereka membawa pulang pingat (Sukan Olimpik) untuk negara, jadi kami percaya adalah wajar untuk memberi mereka RM100,000 setiap seorang,” katanya di majlis penyerahan kereta kepada pemenang pingat Olimpik di sini hari ini.

Terdahulu, Aaron dan Wooi Yik bersama pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia masing-masing dihadiahkan sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dari Chery Malaysia berikutan kejayaan mereka di Paris 2024.

Hannah juga mengesahkan bahawa Zii Jia yang memenangi gangsa di Paris 2024, juga akan menerima RM100,000 di bawah SHAKAM serta pencen seumur hidup RM2,000 sebulan di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik MSN.

Selain itu, Hannah berkata Zii Jia yang sebelum ini dianugerahkan RM50,000 sebelum Paris 2024, akan menerima tambahan RM100,000 daripada MSN, yang boleh dituntutnya untuk menampung perbelanjaannya menjelang Sukan Olimpik.

Pada Paris 2024, Aaron-Wooi Yik mempertahankan pingat gangsa Olimpik selepas menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19, manakala Zii Jia meraih pingat gangsa dengan menewaskan Lashya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11.

Sementara itu, Wooi Yik melahirkan rasa terkejut beliau dengan pengumuman anugerah RM100,000 daripada MSN itu.

“Sebelum ini RM50,000, tetapi sekarang RM100,000. Kami sangat menghargai apa yang menteri (Hannah) lakukan, sehingga ke Paris sokong kami dan beliau tahu macam mana kita berjuang untuk negara,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu juga berharap ganjaran ini akan merangsang mereka untuk beraksi jauh lebih baik dalam kejohanan akan datang termasuk Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles dengan fokus utama mencabar pasangan utama dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mempunyai rekod kurang baik menentang Wei Keng-Wang Chang apabila tewas lapan daripada 10 perlawanan sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan