AM

MASALAH RABUN MURID SEKOLAH DI WILAYAH PERSEKUTUAN MEMBIMBANGKAN - ZALIHA

22/08/2024 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Masalah rabun dalam kalangan murid sekolah di Wilayah Persekutuan amat membimbangkan berdasarkan dapatan daripada saringan dibuat di bawah Program Mata Hati Wilayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata berdasarkan statistik diperolehi setakat ini, 58.2 peratus daripada 2,077 murid yang disaring sejak program itu diperkenal Jun lepas, dikenal pasti rabun.

“Ada seorang murid yang disaring iaitu murid Tahun 1, (tahap) kerabunannya tinggi dan dia tak pernah tahu. Sudah pasti ini akan menganggu pembelajaran.

“Sekiranya hal ini tidak atasi lebih awal, ada kemungkinan mereka akan tercicir daripada pelajaran,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Kecemerlangan SPM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, hari ini. 

Dr Zaliha berkata program Mata Hati Wilayah adalah sebahagian daripada inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) bertujuan menangani masalah kesihatan mata dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di seluruh Wilayah Persekutuan.

Antara sekolah yang telah dipilih untuk menyertai program itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, SK Desa Tasik, SK Setiawangsa dan SK Wangsa Maju Seksyen 1.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan