AM

MASYARAKAT PERLU PENDEDAHAN UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT

23/08/2024 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Masyarakat perlu diberikan pendedahan tentang undang-undang yang memberikan perlindungan kepada mereka jika melaporkan sesuatu kegiatan jenayah yang berlaku di sekeliling agar lebih yakin dengan soal keselamatan.

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata dengan pengetahuan tentang Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, masyarakat akan lebih berasa keselamatan terjamin sekali gus dapat menerapkan sikap lebih peduli terhadap jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Pendidikan mengenai keselamatan pemberi maklumat atau sebagai whistleblower, perlu diberikan supaya apabila mereka tampil ke depan untuk memberikan maklumat … contohnya mereka mungkin nampak penyeludupan dadah berlaku depan mata tapi mereka takut buat laporan kerana fikir, 'habis' aku nanti.

“Tanpa pengetahuan kepada perlindungan pemberi maklumat ini, mereka akan takut,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara bertajuk "Kes Jenayah Melarat, Keselamatan Rakyat Tergugat?", yang diterbitkan Bernama TV malam ini.

Beliau juga menekankan pentingnya pemimpin masyarakat setempat memainkan peranan dalam mengenal pasti kemungkinan berlakunya jenayah di sesuatu lokasi dan mencegahnya.

“Masyarakat setempat ketika ini kurang memainkan peranan. Kalau zaman dahulu, 10 atau 20 tahun lepas, penghulu, ketua kampung dan pengerusi taman perumahan memainkan peranan mereka untuk cegah jenayah,” katanya.

Selain itu, Shahul Hamid berkata media massa berperanan untuk memberitahu jenayah yang berlaku, kaedah ia berlaku dan langkah yang boleh diambil untuk mencegahnya.

“Kita dapat lihat ketika ini apabila berlaku kes jenayah, media massa akan fokus kepada jenayah ini dan ia bagus kerana liputan itu akan memberitahu rakyat betapa bahayanya jenayah berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan