SUKAN

SUKAN PARALIMPIK: MOHD AMIN BAWA SEMANGAT LIN DAN KE PARIS 2024

23/08/2024 11:09 AM

SEPANG, 23 Ogos (Bernama) -- Pemain badminton para negara Mohd Amin Burhanuddin, meletakkan idolanya yang juga bekas jaguh dunia dari China, Lin Dan sebagai pembakar semangat mencipta kejayaan membanggakan pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Mohd Amin yang beraksi dalam perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) berkata corak permainannya juga banyak diinspirasikan daripada Lin Dan yang gemar menyerang selain memiliki ketenangan di dalam gelanggang.

“Saya suka Lin Dan kerana beliau sangat konsisten dan tenang dalam mengawal gelanggang,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Walaupun kali pertama menjejakkan kaki ke pentas Paralimpik, namun pemenang perak Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu meletakkan sasaran berani mara ke final.

Katanya, persiapan untuk ke Paris 2024 sejak awal tahun lepas juga berjalan lancar, walaupun mengalami sedikit kecederaan pada kaki kanan.

“Walaupun ada kecederaan, tetapi Institut Sukan Negara jaga saya dengan baik. Saya masih dalam pemulihan, tetapi boleh main,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

Atlet dari Labuan yang kaki kanannya sedikit kecil sejak berusia tiga bulan itu mula bermain badminton daripada kecil kerana dibesarkan dalam keluarga yang meminati sukan berkenaan.

Mohd Amin merupakan sebahagian daripada 17 atlet serta 17 pegawai berlepas ke Paris dari KLIA Terminal 1 hari ini.

Malaysia menghantar 30 atlet daripada lapan jenis sukan untuk beraksi pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan bermula 28 Ogos dan berakhir 8 Sept ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan