DUNIA

GUNUNG BERAPI DI ICELAND KEMBALI MELETUS

23/08/2024 11:14 AM

HELSINKI, 23 Ogos (Bernama-Xinhua) – Gunung berapi di Semenanjung Reykjanes, barat daya Iceland, meletus lagi pada Khamis menandakan letusan keenam di kawasan itu sejak Disember 2023.

Kejadian berlaku pada 9.26 malam waktu tempatan (2126 GMT), susulan siri gempa bumi yang bermula pada 8.48 malam (2048 GMT) di kawasan kawah Sundhnuks, lapor Xinhua.

Menurut organisasi penyiaran perkhidmatan awam kebangsaan Iceland, RUV memetik Pejabat Meteorologi Iceland memaklumkan aktiviti seismik turut dilaporkan di hujung utara kawah termasuk gempa bumi berukuran 4.0 pada skala Richter sekitar 11.30 malam waktu tempatan (2330 GMT).

Pakar dari Pejabat Meteorologi Iceland, Benedikt Ofeigsson memberitahu RUV bahawa letusan kali ini serupa dengan dua letusan sebelumnya.

ISAVIA, penyedia perkhidmatan lapangan terbang dan navigasi udara Iceland, mengesahkan bahawa aktiviti gunung berapi itu tidak mengganggu perjalanan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavik, yang terletak di hujung Semenanjung Reykjanes.

Sejak 2021, Semenanjung Reykjanes menyaksikan peningkatan aktiviti seismik, termasuk beberapa letusan gunung berapi.

Letusan terakhir di Semenanjung Reykjanes berlaku pada 29 Mei.

-- BERNAMA-XINHUA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan