AM

TANAH JERLUS DI HADAPAN MASJID INDIA, SEORANG MANGSA DIKESAN

23/08/2024 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita warganegara India dikesan terperangkap dalam kejadian tanah jerlus di hadapan Masjid India di sini pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memberitahu Bernama wanita itu sedang cuba dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Kerja-kerja menyelamat sedang berjalan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan sebentar lagi setelah mendapat maklumat lanjut daripada pegawai operasi,” katanya.

Sementara itu, JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 pagi tadi.

Sebanyak 15 anggota berserta dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian iaitu di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Menurut kenyataan itu, wanita yang terperangkap dan tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter itu berusia 48 tahun dan kerja menyelamat sedang dijalankan.

“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat serta unit anjing pengesan JBPM berada di lokasi kejadian dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” maklum kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan