AM

GRAB MALAYSIA KUMPUL LEBIH RM1 JUTA BANTU MEREKA TERKESAN BENCANA, KONFLIK

23/08/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Grab Malaysia berjaya mengumpul lebih RM1 juta bagi menyokong badan bukan kerajaan (NGO) MERCY Malaysia membantu mereka yang terkesan dengan bencana di dalam negara atau konflik dan krisis di seluruh dunia sejak November tahun lepas. 

Grab Malaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan dana yang dikumpul termasuk sumbangan sukarela pengguna melalui GrabPay dan GrabRewards, yang dipadankan oleh Grab Malaysia.

Selain itu, Grab Malaysia turut bekerjasama dengan Mastercard yang telah menyumbang satu peratus daripada nilai pesanan GrabFood untuk pesanan berjumlah RM30 ke atas. 

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo menerusi kenyataan sama berkata pengguna Grab Malaysia menunjukkan kemurahan hati luar biasa dan sumbangan yang diberikan membawa perubahan kepada mereka yang terkesan. 

"Sebagai sebuah jenama tempatan, kami mahu terus terlibat dengan peningkatan kehidupan komuniti yang kurang diberi layanan dan memerlukan bantuan. Inisiatif kami bersama MERCY Malaysia merupakan lanjutan daripada usaha kami selama ini.

"Kami berbangga dapat memanfaatkan inovasi teknologi untuk menguatkan impak positif ini, menjadikannya lebih mudah dan senang diakses oleh rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada komuniti mereka," katanya. 

Sementara itu, Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berterima kasih dengan kemurahan hati rakyat Malaysia dan menghargai sokongan Grab dalam bantuan yang dilakukan mereka. 

"Kami berharap kerjasama dengan Grab Malaysia dapat diteruskan bagi memperkukuh tindak balas kecemasan kami dan membantu komuniti yang terjejas," katanya.

Kenyataan sama memberitahu antara sumbangan yang melibatkan kerjasama itu ialah #BantuanBanjir yang dilakukan sejak 2021 bagi menyokong pemulihan komuniti yang terjejas akibat banjir di seluruh Malaysia.

Ia juga antara lain membabitkan bantuan segera seperti makanan, air bersih dan bekalan asas selain membiayai perolehan bahan mentah dan tenaga kerja untuk memulihkan infrastruktur kawasan dan membantu membina semula rumah atau sekolah serta membaik pulih sistem pembentungan yang terjejas. 

Selain itu, Grab Malaysia turut bekerjasama dengan MERCY Malaysia pada 2023 dalam usaha bantuan kemanusiaan bagi membantu mereka yang terjejas oleh konflik dan krisis di seluruh dunia.

Dana yang dikumpul antara lain digunakan untuk aktiviti sokongan termasuk pengagihan makanan dan air, sokongan kesihatan mental, bantuan perubatan, serta menyumbang kepada penyediaan dan pengendalian pusat-pusat perubatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan