SUKAN

YIAT QING TIDAK PUAS HATI WALAU RAIH EMAS HARI INI

23/08/2024 06:48 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Penerjun Wilayah Persekutuan Lee Yiat Qing sentiasa mementingkan kesempurnaan terjunan sama ada ketika latihan mahupun pertandingan.

Mesej itu jelas kerana walaupun memenangi pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini, atlet berusia 16 tahun itu seolah-olah tidak sepenuh hati meraikan kemenangannya.

Malah beliau masih memperkatakan tentang prestasinya mungkin lebih baik jika tidak dibelenggu kecederaan pada pergelangan tangan kanan yang dialaminya pada Mac lepas.

Pada aksi di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, Yiat Qing mengumpul 231.20 mata sekali gus memecah dominasi Sarawak dalam acara terjun wanita walapun terjunan keduanya sedikit merosot dengan 27.00 mata.

Dua wakil tuan rumah Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj terpaksa akur apabila masing-masing meraih perak (228.25) dan gangsa (225.70).

Dalam pada itu, pemenang pingat emas 10m platform di Sukan SEA Kemboja 2023 itu berkata beliau bersyukur kerana sekurang-kurangnya pulang dengan satu pingat emas daripada dua acara disertainya pada SUKMA kali ini.

“Saya bersyukur dengan pingat emas ini tetapi tidak puas hati kerana rasa boleh lakukan lebih baik. Saya perlukan lebih banyak konsistensi dan latihan. Saya terlalu memikirkan untuk lakukan lebih baik pada terjunan kedua, namun ia mengganggu saya dan menjadi lebih buruk daripada dijangkakan,” katanya.

Selain itu, beliau turut berazam meningkatkan prestasi dalam sesi percubaan bagi mencapai markah kelayakan minimum ditetapkan Persatuan Renang Malaysia (MAS) untuk memastikan tiket ke Kejohanan Remaja Dunia di Rio de Janeiro Brazil pada 24 Nov hingga 1 Dis depan

Terdahulu, gandingan Sarawak Muhammad Lutfir Rahman Mohammad Razak-Nurul Farisya Alia Affendi memenangi acara platform seirama campuran dengan mengumpul 234.66 mata pada hari terakhir acara terjun dipertandingkan.

Megat Azim Hakimi Megat Nor Ismail-Cecelia Olivia Christopher Leoneil dari Perak mengumpul 209.94 mata untuk tempat kedua manakala wakil Wilayah Persekutuan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Ng Jia Gee ketiga dengan 203.97 mata.

Sarawak mengekalkan dominasi di kolam terjun dengan mengumpul sembilan emas, tiga perak dan dua gangsa untuk muncul juara keseluruhan acara berkenaan manakala Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 3-4-4 diikuti Terengganu (0-2-3) ketiga dan Perak (0-2-2) keempat.

-- BERNAMA  

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan