AM

MCPF CADANG PENGGUNAAN KOD QR MYTRIP DIPERLUAS DI SEMUA PINTU MASUK NEGARA

24/08/2024 01:07 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Penggunaan Kod Respons Pantas (QR) MyTRIP di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sejak 1 Jun lepas perlu diperluaskan di semua pintu masuk negara secepat mungkin.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Seri Ayub Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata pengautomasian kod itu mampu mengurangkan kebergantungan sistem pelepasan manual warga asing serta menggalakkan pembayaran visa secara dalam talian.

Beliau mengambil contoh negara jiran Singapura yang mempraktikkan kaedah sama menerusi aplikasi MyICA dan beberapa negara di Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui penggunaan e-visa.

“Walau secanggih mana teknologi, MCPF melihat terdapat beberapa kelompangan perlu ditambah baik bagi melicinkan prosedur pelepasan warga asing.

“Ini termasuk memperketat proses pelepasan individu di kaunter mahupun secara berkumpulan bagi mengelakkan unsur sogokan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya mengulas penahanan 12 individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam yang menjadi ”tali barut” melepaskan warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’.

 Ayub berkata kerajaan juga disyorkan untuk mewujudkan mekanisme pintar dan berkesan bagi mengesan serta mencegah isu sama berulang selain melaksanakan penyeliaan ketat dalam mengendalikan kemasukan warga asing berisiko.

“MCPF juga menyokong penuh langkah mewujudkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) bagi mengawal kesemua pintu masuk negara termasuk KLIA serta menggesa pembentukan segera pasukan khas agensi penguat kuasa itu yang diluluskan penubuhannya di Dewan Rakyat pada 16 Julai," katanya.  

Beliau berkata tindakan yang lebih tegas perlu diambil ke atas penjawat awam yang sanggup menerima rasuah demi kepentingan peribadi sehingga tergamak bersekongkol dengan sindiket jenayah.

“Isu pendatang tanpa izin (PATI) ini bukan sahaja (mengenai) isu dokumentasi namun turut berkaitan  dengan kedaulatan negara. Kemasukan tidak terkawal PATI boleh menimbulkan pelbagai masalah daripada aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan