BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

BIRO PELANCONGAN TAIWAN LANCAR ‘JOM TAIWAN’ UNTUK TARIK PELANCONG MUSLIM

24/08/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Biro Pelancongan Taiwan melancarkan video promosi perjalanan mesra Muslim iaitu Salam Taiwan 2024 "Jom Taiwan!" dan memperkenalkan artis Nabila Razali sebagai duta pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara berkenaan. 

Biro Pelancongan Taiwan dalam satu kenyataan memaklumkan video itu arahan Pengarah Ooi Shi Wei dari Akademi Golden Horse dan pempengaruh daripada komuniti Muslim Neollene yang menampilkan trend  bandar, ekopelancongan, pengembaraan yang mengujakan dan pengalaman budaya.

"Video promosi itu akan disiarkan melalui iklan di televisyen Malaysia, papan iklan elektronik luar, dan platform dalam talian. Pada September, Biro Pelancongan Taiwan akan menyertai Pameran Pelancongan MATTA di Kuala Lumpur menyaksikan Nabila akan mengadakan sesi temu mesra bersama peminat.

"Biro Pelancongan Taiwan telah menggunakan jenama "Salam Taiwan" sejak 2018 untuk menonjolkan  Taiwan sebagai destinasi yang mengalu-alukan kedatangan pelancong Muslim dari Malaysia," menurut kenyataan itu.

Selain itu, biro berkenaan turut melancarkan risalah perjalanan Muslim baharu dan kempen pengundian "72 jam di Taiwan",  menjemput rakyat Malaysia mengundi jadual perjalanan ke  Taiwan  yang mereka gemari  di laman sesawang https://72jamditaiwan.my,  dan peserta berpeluang memenangi pakej pelancongan ke Taiwan selama  empat hari tiga malam untuk dua orang termasuk tambang penerbangan pergi balik.

Biro berkenaan dengan kerjasama agensi-agensi pelancongan Muslim ternama  di Malaysia  akan mengadakan pakej diskaun pelancongan berkumpulan terhad masa, bertujuan menggandakan peluang perniagaan bagi pasaran Muslim Malaysia.

Sementara itu, Nabila berkata beliau berasa sungguh bertuah dilantik sebagai Duta Pelancongan Muslim Biro Pelancongan Taiwan.

Penyanyi itu turut berkongsi pengalaman semasa mengunjungi Taiwan dan kagum dengan keindahan semula jadi dan suasana mesra di negara berkenaan. 

Nabila pernah melawat Bitou Cape, Yangmingshan, Stesen Jingtong di Laluan Pingxi, dan pelbagai taman tema serta merasai masakan Muslim Taiwan termasuk potongan ayam goreng selain menikmati Hakka Lei Cha DIY (teh yang  ditumbuk).

Artis itu turut meluangkan masa menunggang basikal di sepanjang Tanyashen Greenway di Taichung dan menaiki kereta api Laluan Pingxi.

Menurut kenyataan itu, antara Januari dan April tahun ini, pelancong Malaysia ke Taiwan melebihi 170,000 menjadikan Malaysia satu daripada pasaran pelancongan dari  Asia Tenggara yang paling penting di Taiwan.

Sejak 2019, Taiwan disenaraikan antara tiga destinasi utama bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Indeks Perjalanan Muslim Global (GMTI) berjaya menonjolkan persekitaran pelancongan mesra Muslim.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan