BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

80 BOT KIBAR JALUR GEMILANG MENELUSURI SUNGAI KEDAH SEMPENA HARI KEBANGSAAN

24/08/2024 07:08 PM

ALOR SETAR, 24 Ogos (Bernama) — Sejumlah 80 bot yang dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang berarak menyelusuri Sungai kedah sejauh 17 kilometer (km) di sini hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67, minggu depan.

Perarakan bot-bot kecil itu bermula di Kampung Seberang, Anak Bukit, di sini dan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut menyertai dengan mengemudi sendiri sebuah bot pada perarakan itu.

Dalam ucapan pada majlis perasmian itu, Muhammad Sanusi berkata Sungai Kedah menyimpan banyak sejarah negeri itu selain pernah menjadi laluan utama masuk ke bandar raya ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang berusaha menjadikan Sungai Kedah sebagai produk pelancongan utama negeri bagi menarik minat pelancong berkunjung ke bandar raya ini.

"Disebabkan itu kita buat program berarak di dalam air (sungai) sempena Hari Kebangsaan minggu hadapan, supaya rakyat tahu Sungai Kedah pernah menjadi ‘highway’ untuk masuk ke Alor Setar suatu masa dulu.

“Saya harap usaha dapat dilakukan bagi mengindahkan persekitaran sungai ini agar dapat menarik minat pelancong melihat kehidupan tradisi masyarakat di sini,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Dzowahir Ab Ghani, Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Rashidi Razak.

Sementara itu, Dzowahir yang juga ADUN Suka Menanti berkata program perarakan bot tersebut diadakan bagi mencipta kelainan dalam mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

“Selepas ini, kita berhasrat menjadikan program konvoi bot merdeka ini sebagai acara tahunan di Kedah dan kita bercadang adakan lebih besar pada tahun hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan