AM

KEMENTERIAN PERTAHANAN TELITI PENDEKATAN TERBAIK BANGUNKAN ARMADA DIGITAL

24/08/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang meneliti pendekatan terbaik dalam membangunkan ketumbukan dan armada digital secara besar-besaran, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata ini kerana ancaman dan peperangan akan datang semuanya bakal tertumpu di persada maya justeru kementerian bakal membuat pelaburan besar bagi memastikan armada digital negara antara terbaik di dunia.

“Semua domain pertahanan nasional akan melalui transformasi dan pembaharuan secara besar-besaran tetapi terancang dalam beberapa tahun akan datang. Semua ini adalah penting dan kritikal … ini kerana  ancaman terhadap kedaulatan negara kini hadir dalam bentuk yang sangat pelbagai, kompleks dan bersifat ‘multifacated’.

“Musuh mampu melumpuhkan semua prasarana kita melalui serangan siber malah mereka boleh menerobos segala sistem pertahanan kita hanya melalui serangan siber secara terancang dan berterusan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dalam segala hal yang melibatkan kedaulatan tanah air.

“Mempertahankan kedaulatan negara tugas hakiki Kementerian Pertahanan,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pengenalan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berupaya memastikan kemenjadian generasi pelapis yang bakal menjadi penerus kemerdekaan negara. 

Beliau berkata melalui program itu proses membina karakter dan ketahanan anak muda Malaysia akan dilakukan dengan baik serta dilengkapi pemupukan nilai unggul serta rasa cintakan negara. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan