AM

TANAH JERLUS: DUA LAGI LURANG KUMBAHAN DALAM TINDAKAN UNTUK DIPERIKSA - DR ZALIHA

24/08/2024 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India kini difokuskan di dua lagi lurang kumbahan terakhir yang berada dalam jajaran menghala ke loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata dua lurang kumbahan berkenaan iatu di Dataran Merdeka dan Bulatan Kinabalu.

Setakat ini, beliau berkata empat lurang kumbahan sudah selesai diperiksa Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu dan Bank Pertanian berhampiran Lebih Pasar.

“Kita akan teruskan pencarian dengan pihak yang bertanggungjawab sehingga ke IWK Pantai Dalam.

“Jika mangsa tidak ditemukan, kita akan bincang apakah tindakan seterusnya dan tentang berapa lama lagi operasi menyelamat akan berjalan, kita masih belum dapat pastikan,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi insiden di sini hari ini. 

Zaliha berkata pihaknya juga akan meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan kaunseling yang diperlukan bagi menjaga emosi ahli keluarga mangsa. 

Mengulas tentang punca sebenar kejadian, Zaliha berkata perkara itu belum dapat dipastikan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pihak bertanggungjawab yang dijangka diterima selepas selesai operasi.

“Bagi mengelakkan insiden tanah jerlus berulang, kita akan buat semula ‘mapping’ dan dapatan daripada semua pihak termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) untuk memastikan kawasan Kuala Lumpur terutamanya sekitar sini kekal selamat,” katanya. 

Beliau juga menasihati orang ramai untuk mengelakkan berada di kawasan sekitar lokasi tanah jerlus ini sebagai langkah berjaga-jaga. 

Terdahulu, Zaliha meninjau lokasi kejadian serta bertemu keluarga mangsa yang sudah berada di sana sejak 9 pagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata seramai enam anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat ditugaskan menjalankan operasi pencarian di enam lurang kumbahan yang terlibat sejak pagi tadi.

Beliau berkata anggota akan membuat pemeriksaan selama 20 minit bagi setiap kawasan lurang kumbahan itu kerana berhadapan dengan cabaran iaitu ruang sempit, arus deras dan keadaan udara yang berisiko.

"Pasukan skuba masuk ke dalam lurang dengan menggunakan kaedah 'buddy' iaitu antara dua atau tiga anggota dalam satu-satu masa. Ini kerana kawasan kumbahan ada gas dan memberikan risiko kepada anggota," katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wang ACP Sulizmie Affendy Sulaiman pula berkata pihaknya tidak menghalang peniaga untuk meneruskan aktiviti perniagaan ketika operasi pencarian dilakukan di enam lurang kumbahan.

“Kita bukan arah untuk tutup sepenuhnya, apabila operasi pencarian (di lurang kumbahan) itu selesai, peniaga boleh meneruskan operasi mereka … kita tidak ganggu perniagaan mereka," katanya.

Sejak 10.30 pagi tadi, pasukan penyelamat mula membuka enam lurang kumbahan sekitar lokasi operasi mencari dan menyelamat di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di sini secara berperingkat bagi meluaskan kawasan pencarian.

Semalam, media melaporkan seorang pelancong dari India dikenali Vijayaletchumy, 48, terjerlus ke dalam lubang sedalam lapan meter pada kejadian 8.22 pagi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan