AM

PENSIJILAN WSO NOBATKAN HCTM UKM SEBAGAI PENERAJU PENJAGAAN STROK DI MALAYSIA DAN ASEAN

25/08/2024 10:29 AM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dianugerahkan pensijilan Pusat Strok Termaju oleh Pertubuhan Strok Sedunia (WSO) pada Khamis (22 Ogos), yang menjadi penanda aras baharu dalam penjagaan strok di Malaysia dan rantau ASEAN.

Ketua Koordinator Projek Program Pensijilan Pusat Strok (WSO) Prof Madya Dr Wan Asyraf Wan Zaidi berkata pensijilan tersebut, memperakui HCTM sebagai pusat komprehensif yang mempunyai pasukan multidisiplin berkualiti tinggi.

“Pengiktirafan berprestij ini membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dan usaha tanpa jemu pasukan strok HCTM, UKM,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Dr Wan Asyraf yang juga Pakar Neurologi (Strok) dan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM, HCTM berkata perjalanan ke arah kejayaan itu bermula sejak 1997, apabila Hospital Canselor Tuanku Muhriz ditubuhkan, HCTM UKM menjadi pusat trombolisis strok pertama pada 2009.

“Pencapaian penting ini diikuti dengan pelancaran unit penjagaan strok pertama di Malaysia pada 2013. Peristiwa penting ini meletakkan asas untuk HCTM berusaha secara konsisten untuk mencapai tahap terbaik dan cemerlang dalam rawatan strok,” katanya.

Dr Wan Asyraf berkata pasukan Strok HCTM, yang terdiri daripada pakar khusus, komited untuk memberikan penjagaan holistik dan terkini kepada pesakit strok.

“Pasukan strok kami yang komprehensif terdiri daripada pakar neurologi, perubatan kecemasan, perubatan keluarga, kardiologis, pakar bedah saraf, vaskular, radiologi, neuroradiologi, neuroradiologi intervensi, pakar bius, pemulihan, kejururawatan, dan perkhidmatan kesihatan bersekutu,” katanya.

“Kami tidak akan berhenti di sini, matlamat kami adalah untuk terus meningkatkan mutu penjagaan pesakit dengan mengukuhkan kerjasama tempatan dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dr Wan Asyraf melihat pensijilan ini sebagai sumber inspirasi yang penting bagi hospital-hospital lain di Malaysia.

“Kami yakin bahawa lebih banyak pusat akan mengikuti jejak ini, yang seterusnya akan membawa kepada pendekatan terapeutik yang lebih canggih dan peningkatan penjagaan pesakit strok di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan