POLITIK

UMNO SABAH: TIADA PERPECAHAN HANYA PERBEZAAN PENDAPAT - BUNG MOKTAR

25/08/2024 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan berlaku perpecahan dalam parti itu di negeri berkenaan terutama membabitkan beliau dan timbalannya Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. 

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata dakwaan itu hanya persepsi sesetengah pihak.

“UMNO Sabah kita tidak ada perpecahan. Perbezaan pendapat itu memang ada dan kita menghormati perbezaan pendapat antara satu sama lain tetapi akhirnya UMNO perlu memutuskan sesuatu untuk mencapai kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Bung Moktar berkata ketika ini fokus UMNO dan BN Sabah adalah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlaku bila-bila masa sahaja. 

Beliau berkata perkara ini amat penting ketika UMNO Sabah ketika ini menggalas dan menyahut cabaran pucuk pimpinan parti untuk BN menang besar dan UMNO kembali menjadi kuasa dominan dalam kerajaan pada PRN Sabah. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan