AM

TANAH JERLUS: PERNIAGAAN, PIHAK BERKUASA DIGESA UTAMAKAN PENYELENGGARAAN INFRASTRUKTUR 

25/08/2024 01:58 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India di sini membuktikan terdapat keperluan mendesak untuk penyelenggaraan infrastruktur lebih baik oleh entiti perniagaan dan pihak berkuasa.

Insiden yang mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan itu turut memperlihatkan betapa pentingnya untuk melabur dalam aspek pencegahan demi melindungi nyawa dan memastikan kelancaran operasi perniagaan.

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) dan Profesor Madya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata perlu untuk mempunyai dana penyelenggaraan yang khusus.

“Pada masa ini, Malaysia seolah-olah mengutamakan pembinaan baharu berbanding penyelenggaraan infrastruktur sedia ada. Berbeza dengan negara-negara Eropah yang secara rutin melabur dalam projek penyelenggaraan musim panas untuk memastikan infrastruktur mereka dalam keadaan terbaik.

“Dana penyelenggaraan khusus dapat memastikan kestabilan infrastruktur secara berterusan dan membantu mencegah gangguan dari aspek keselamatan yang akan membabitkan kos tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penyelenggaraan pencegahan bukan sahaja untuk menangani isu-isu kecil untuk mengelakkan menjadi lebih besar tetapi juga membantu memanjangkan jangka hayat infrastruktur.

“Melabur dalam penyelenggaraan pencegahan adalah penting untuk melindungi nyawa. Infrastruktur yang diselenggara dengan baik secara signifikan mengurangkan risiko keselamatan awam.

“Peruntukan dana untuk penyelenggaraan rutin meminimumkan gangguan operasi perniagaan dan menyumbang kepada keselamatan secara keseluruhan,” katanya.

Wan Mazlina turut menyentuh mengenai kepentingan membuat keputusan berdasarkan data dalam pengurusan infrastruktur.

“Perniagaan dan pihak berkuasa mesti menggunakan analisis data untuk memantau prestasi infrastruktur dan membuat keputusan berdasarkan maklumat tentang peruntukan sumber. Bagaimanapun, pengumpulan data yang tidak diselaraskan dengan baik dan keengganan syarikat swasta berkongsi maklumat menghalang proses ini,” katanya.

Wan Mazlina berkata penubuhan pangkalan data menyeluruh serta bersepadu boleh meningkatkan ramalan dan perancangan dengan itu dapat mengurangkan isu berkaitan infrastruktur selain meningkatkan keselamatan dan kecekapan.

Semalam Bernama melaporkan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

“Saya telah terima banyak aduan apabila satu kawasan itu hendak dibangunkan, kerja-kerja korek menunjukkan ada kabel besar TNB contohnya, tapi tiada dalam peta. Jadi saya lihat kita perlu berikan kerjasama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memastikan kita bukan hanya ada pemetaan di bahagian permukaan, tapi juga pemetaan utiliti,” katanya.

Untuk memastikan kecekapan penggunaan dana penyelenggaraan, Wan Mazlina mencadangkan pelaksanaan metrik prestasi untuk menilai projek naik taraf dan penyelenggaraan. 

“Metrik ini membantu memastikan sumber digunakan dengan berkesan dan projek memenuhi objektifnya. Bagi perniagaan pula ini bermakna pengurusan infrastruktur yang lebih cekap mengurangkan risiko gangguan.

“Apa yang lebih penting penyelenggaraan dan penilaian prestasi yang berkesan boleh mengelakkan kejadian yang membawa implikasi keselamatan serius selain mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk semua,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan