AM

JHEV PERHALUSI KENAIKAN KOS BINA RUMAH BAHARU VETERAN ATM

25/08/2024 07:01 PM

JERTIH, 25 Ogos (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang memperhalusi kenaikan kos pembinaan rumah baharu untuk veteran atau waris anggota tentera.

Ketua Pengarahnya Mej Jen Datuk Zambery Jefry Darus berkata ia susulan kenaikan kos pengangkutan dan harga bahan binaansementara kos pembinaan semasa iaitu RM75,000 tidak lagi relevan bagi sebuah rumah berkeluasan 750 kaki persegi.

“Kita akan berbincang dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan kenaikan kos pembinaan tanpa mengurangkan saiz rumah sedia ada.

“Perkara ini akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk keputusan memandangkan ia melibatkan peningkatan kos,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu JHEV kepada balu veteran ATM Yuslina Yusof, 51, di Kampung Bukit Cina, Pasir Akar, Hulu Besut, di sini hari ini.

Beliau berkata sejumlah 50 buah  rumah baharu  untuk veteran telah dibina sejak Januari hingga semalam melibatkan kos keseluruhan RM2.5 juta.

Zambery Jefry berkata JHEV membiayai kos pembinaan setiap buah rumah baharu bernilai RM55,000 di bawah Program Pembinaan Rumah Baharu JHEV manakala SPNB memberi subsidi di bawah skim mereka sebanyak RM20,000 kepada veteran yang daif.

“JHEV turut melaksanakan program membaiki rumah melibatkan kos RM2.7 juta pada tahun ini membabitkan 190 veteran,” katanya.

Sementara itu, Yuslina, balu kepada Ramli Yasin yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Januari lepas bersyukur kerana telah mempunyai kediaman sendiri setelah menumpang di rumah adik beradik arwah suaminya sejak 2003.

“Arwah suami saya dulu berkhidmat selama 13 tahun di Batalion 302 Rejimen Askar Wataniah Kem Batu Melintang, Jeli, Kelantan dan selepas berhenti tentera arwah suami melakukan pelbagai kerja dengan pendapatan tidak menentu.

“Ketika hayatnya, arwah memasang hasrat untuk memiliki rumah sendiri yang dilengkapi tiga bilik tetapi tidak mampu membinanya kerana tiada kewangan yang cukup,” katanya yang tinggal bersama dua anaknya berusia 21 dan 22 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan