AM

SULTAN NAZRIN BERANGKAT KE PROGRAM MENYEMAI SEMANGAT KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

25/08/2024 11:23 PM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) - - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Perak 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini malam ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Tahun ini merupakan tahun keenam penganjuran Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang diadakan sejak 2018.

Program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak itu bertujuan membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai identiti nasional dengan pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. 

Beberapa acara dan pertandingan telah diadakan termasuk pertandingan pidato diraja, menulis esei, mengarang sajak, melukis karikatur, melukis poster, bicara berirama dan choral speaking. 

Pada malam ini program turut diserikan dengan persembahan daripada pemenang-pemenang pertandingan berkenaan. 

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang - pemenang. 

Baginda berdua kemudian berkenan melawat ke pameran lukisan dan karikatur sebelum meninggalkan majlis pada  jam 10.30 malam. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan