DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

26/08/2024 11:21 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi sejajar dengan prestasi Wall Street yang positif selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell menunjukkan perubahan dalam dasar kadar pada masa depan, kata penganalisis. 

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.12 mata kepada 1,641.86 daripada 1,635.74 pada Jumaat lepas.

Indeks dibuka tinggi 4.08 mata kepada 1,639.82.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 250 berbanding 104, dengan 232 kaunter kekal tidak berubah, 1,940 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 102.94 juta unit bernilai RM69.42 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minat belian akan bersambung semula hari ini walaupun indeks ditutup dalam julat negatif pada Jumaat lepas dalam persekitaran momentum kukuh daripada Wall Street selain kenyataan yang menyokong kadar rendah daripada Fed.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,635 hingga 1,645 hari ini.

“Berita terkini mengenai Amazon Web Services akan melabur US$6.2 bilion (US$1=RM4.35) di Malaysia akan menambah lagi dorongan kepada sektor teknologi yang telah berkembang pesat,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing naik enam sen kepada RM10.50 dan RM13.78, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.55 dan CIMB meningkat empat sen kepada RM7.93 manakala IHH merosot dua sen kepada RM6.31.

Daripada saham aktif, Elridge dan JCY, masing-masing naik 1.5 sen kepada 42 sen dan 58.5 sen, WCT meningkat 5.5 sen kepada RM1.01, Velesto menambah setengah sen kepada 21.5 sen dan MYEG naik satu sen kepada 90 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 54.18 mata kepada 12,387.99, Indeks FBMT 100 naik 52.22 mata kepada 12,065.67 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 47.19 mata kepada 12,309.24.

Indeks FBM 70 naik 104.10 mata kepada 17,818.54 dan Indeks FBM ACE menambah 12.74 mata kepada 5,228.43.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 20.67 mata kepada 7,220.84, Indeks Tenaga meningkat 11.70 mata kepada 933.23, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.66 mata kepada 182.26 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 73.77 mata kepada 19,094.42. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan