EKONOMI

UNIT T7 GLOBAL RAIH KONTRAK SISTEM RMAF BERNILAI RM74.6 JUTA DARIPADA MINDEF

26/08/2024 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat T7 Global Bhd (T7 Global), T7 Kemuncak Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM74.6 juta daripada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

T7 Global dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pihaknya bertanggungjawab membekal, menghantar, menguji dan pengoperasian sistem radar pengawasan lapangan terbang kecil, sistem komunikasi serta peralatan sistem pengurusan trafik udara yang berkaitan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia.

 Syarikat itu berkata kontrak berkenaan adalah bagi tempoh lima tahun bermula dari 5 Ogos, 2024 hingga 4 Ogos, 2029.

Menurut kumpulan berkenaan, pemberian kontrak tersebut tidak akan memberi kesan ke atas jumlah modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

"Ahli Lembaga Pengarah menjangkakan kontrak itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 dan seterusnya," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan T7 Global Tan Kay Zhuin berkata kontrak berkenaan menunjukkan keupayaan kumpulan untuk membangunkan penyelesaian bersepadu kepada TUDM, yang merangkumi sistem radar pengawasan udara berprestasi tinggi bagi memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kecekapan yang dipertingkat.

“Dengan kontrak ini, kami terus komited untuk mempelbagaikan aliran pendapatan kami dan menyokong pertumbuhan mampan untuk kumpulan,” katanya.

T7 Global ialah penyedia penyelesaian terkemuka terutamanya dalam perniagaan penyelesaian tenaga dan perindustrian dengan kehadiran kukuh di seluruh Asia, menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pelanggan dalam industri minyak dan gas, aeroangkasa serta am.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan