AM

PERHILITAN NEGERI SEMBILAN TANGKAP 17 EKOR HARIMAU KUMBANG SEJAK 2023

26/08/2024 05:03 PM

SEREMBAN, 26 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menangkap 17 ekor harimau kumbang di negeri ini sejak tahun lepas.

Pengarah berkenaan Faizal Izham Pikri berkata tangkapan itu membabitkan kawasan sekitar Jelebu, Tampin dan Kuala Pilah dengan yang terbaharu di Kampung Padang Lebar, Mukim Mayun, Chengkau Ulu, Rembau, Sabtu lepas.

“Ia membabitkan kes konflik dengan hidupan liar itu. Tangkapan harimau kumbang ini sedikit sebanyak melegakan pekebun dan penternak kambing di sekitar kawasan konflik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tangkapan dan pemindahan harimau kumbang itu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan terbabit berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Gunung Tampin.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penternak untuk sentiasa membersihkan kebun dan tidak membiarkannya dipenuhi semak samun selain mengukuhkan struktur kandang haiwan sekali gus memastikan ia tidak terbuka.

Faizal Izham berkata penternak juga perlu memastikan kandang haiwan ternakan terang di waktu malam dan tidak melepaskan haiwan ternakan pada waktu itu bagi mengurangkan kes konflik melibatkan harimau kumbang.

“Orang ramai juga diminta supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar selain tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan.

“Perhilitan negeri sentiasa memantau sebarang kes membabitkan hidupan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata orang awam boleh menyalurkan sebarang aduan serta maklumat mengenai hidupan liar kepada Perhilitan melalui talian khidmat 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan