AM

BANJIR: SATU PPS DI PERAK TUTUP PETANG INI

26/08/2024 07:59 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Matang di daerah Larut, Matang dan Selama ditutup sekali gus menjadikan jumlah mangsa banjir di Perak berkurang setakat petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan PPS Masjid Jamek Kampung Pasir di daerah Muallim menjadi satu-satunya PPS yang masih dibuka melibatkan 108 mangsa daripada 24 keluarga dari kampung berkenaan. 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk serta Kuala Kangsar akan mengalami hujan dan ribut petang ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River-Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik-Jeli dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.

"Laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang juga dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan," menurut JKR.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan