EKONOMI

MAXIS SYARIKAT TELEKOMUNIKASI PERTAMA DI MALAYSIA TAWAR GPUAAS KEPADA PELANGGAN

26/08/2024 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, akan menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menyediakan unit pemprosesan grafik sebagai perkhidmatan (GPUaaS) berasaskan awan kepada pelanggannya di Malaysia.

Maxis dalam satu kenyataan berkata perkhidmatan itu akan dikuasakan oleh kluster berkuasa GPU NVIDIA H100 Tensor Core dan syarikat itu akan menjadi antara syarikat telekomunikasi pertama di dunia menawarkan perkhidmatan menggunakan NVIDIA GB200 Grace Blackwell Superchip generasi akan datang.

Sebagai sebahagian daripada portfolio perkhidmatan terurus dan awan Maxis Business, GPUaaS memberikan perniagaan akses mudah kepada unit pemprosesan grafik (GPU) yang berkuasa untuk latihan kecerdasan buatan (AI) canggih dan aplikasi inferens.

GPUaaS Maxis merupakan kaedah yang kos efektif untuk pelanggan mengguna pakai keupayaan berprestasi tinggi dengan cepat bagi beban kerja pemprosesan intensif seperti AI, pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam.

Menerusi kaedah ini perniagaan dijangka tidak lagi perlu untuk melabur dalam perkakasan GPU yang mahal atau mengekalkan infrastruktur yang kompleks

Dengan kuasa pengkomputeran berskala tersedia atas permintaan melalui GPUaaS, para pelanggan boleh memperuntukkan lebih banyak masa dan sumber kepada aktiviti perniagaan teras mereka dan mempercepatkan pembangunan AI generatif, model bahasa besar dan beban kerja AI mereka.

“Kami gembira menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menyediakan GPUaaS, membolehkan pengkomputeran berprestasi tinggi dan pemprosesan data atas permintaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng.

Beliau berkata perniagaan akan mempunyai fleksibiliti untuk menskalakan sumber mereka apabila diperlukan bagi beban kerja yang lebih kompleks seperti AI, pembelajaran mesin, pemodelan 3D dan analitik berskala besar.

“Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu utama di Malaysia, kami akan terus memastikan pelanggan dapat memanfaatkan kesalinghubungan dan penyelesaian digital yang terbaik dengan lebih mudah, supaya mereka boleh memberi tumpuan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Pada 19 Ogos, 2024, sebanyak 35 ahli Bridge Alliance dan Singtel mengumumkan perkongsian strategik yang menawarkan GPUaaS Singtel kepada perusahaan di seluruh rantau ini.

Maxis sebagai pengendali ahli Bridge Alliance telah membuat keputusan strategik untuk memanfaatkan tawaran Singtel yang melengkapkan penyelesaian awan dan sambungannya yang meluas, membolehkan pelanggan untuk mendapat penyelesaian yang diperlukan untuk memenuhi keperluan organisasi mereka.

-- BERNAMA

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan