JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SARAWAK RAMPAS DADAH BERNILAI LEBIH RM3.3 JUTA

26/08/2024 08:10 PM

KUCHING, 26 Ogos (Bernama) -- Polis Sarawak merampas dadah jenis syabu seberat 105.02 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM3.36 juta dalam operasi khas di dua lokasi berasingan di Bandar Baru Permyjaya Miri, bahagian utara Sarawak, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata dalam operasi yang dijalankan pada jam1.40 petang itu, turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 52 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 26 tahun.

Katanya rampasan itu adalah yang terbesar di Sarawak tahun ini membabitkan dadah jenis syabu.

"Berdasarkan maklumat, bekalan dadah diperolehi dari Semenanjung Malaysia melalui jalan laut dan menggunakan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli mengikut arahan ketua sindiket," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya suspek akan menerima upah antara RM3,500 hingga RM12,000 sebulan.

Mancha berkata hasil saringan awal air kencing juga mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan amphetamine dengan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampu membabitkan kesalahan narkotik dan jenayah.

Katanya semua suspek direman tujuh hari mulai semalam sehingga 1 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan