AM

MALAYSIA, BRUNEI METERAI TIGA DOKUMEN DUA HALA

26/08/2024 09:02 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Brunei hari ini memeterai tiga dokumen dua hala pada Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 antara kedua-dua negara di Istana Nurul Iman di sini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dokumen pertama ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa Pertama melibatkan persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei.

“Kita telah capai persetujuan persempadanan sebanyak 33 peratus, ada lagi sempadan yang perlu diukur dan dipersetujui bersama iaitu sasarannya pada 2034.

"Ini bermakna kita ada 10 tahun lagi untuk ukur sempadan itu dan rundingkan semula,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei selepas mengiringi pemimpin nombor satu negara itu menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia-Brunei di sini.

Semasa lawatan itu, Anwar turut menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata.

Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan menyaksikan majlis pemeteraian dokumen dua hala itu bersama Perdana Menteri.

Mohamad berkata dokumen kedua ialah MoU dalam bidang pengangkutan bagi kerjasama penerbangan membabitkan Brunei, Sabah dan Sarawak yang dilihat mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan sektor pelancongan di kawasan terbabit.

“Ini kerana Brunei mempunyai connection ke luar negara... Brunei juga ada penerbangan terus ke Sabah dan Sarawak, ini kita selaraskan supaya industri pelancongan kedua-dua negara dapat kita tingkatkan,” katanya.

Beliau berkata dokumen ketiga pula ialah Pertukaran Nota melibatkan akses maritim antara Malaysia dan Brunei dengan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa sementara bagi menyelaras perkara itu.

MoU Fasa Pertama persempadanan darat ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Dato Seri Setia Haji Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

MoU bagi kerjasama dalam bidang pengangkutan pula ditandatangani oleh Mohamad serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha manakala Pertukaran Nota ditandatangani oleh Mohamad dan Erywan Pehin.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan