AM

MANGSA BANJIR DI PERAK MENINGKAT SEDIKIT PAGI INI

28/08/2024 11:57 AM

IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Muallim pagi ini meningkat sedikit dengan 111 mangsa daripada 25 keluarga berbanding semalam iaitu 107 mangsa daripada 24 keluarga yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir dalam daerah itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di PPS berkenaan sejak Jumaat lepas akibat banjir lumpur yang melanda Kampung Pasir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di beberapa daerah di negeri ini akan dilanda ribut pada sebelah petang seperti kawasan Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan laluan A121 Jalan Slim River–Behrang Ulu di daerah Muallim masih ditutup akibat jalan utama runtuh manakala FT 004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang Gerik–Jeli dibuka satu lorong disebabkan tanah runtuh.

Kenyataan itu juga memberitahu laluan di FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang juga dibuka satu lorong kepada semua kenderaan disebabkan berlaku runtuhan di bahu jalan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan