AM

PM ANWAR SEMPAT KE PULAU PINANG SEBELUM SAMPAIKAN AMANAT HARI KEBANGSAAN 2024

30/08/2024 12:43 PM

BUKIT MERTAJAM, 30 Ogos (Bernama) -- Meskipun mempunyai tugas penting menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih sempat meluangkan masa untuk menghadiri beberapa majlis di Pulau Pinang pagi ini.

Sejurus selesai menghadiri Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian, Perak pagi tadi, beliau bergegas ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) tepat 11.20 pagi.

Perdana Menteri merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan telah menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan enam orang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) sekolah berkenaan pada majlis anjuran Alumni HSBM itu.

Turut hadir adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad.

Selepas meluangkan masa kira-kira 40 minit dengan guru, pelajar, pengurusan dan alumni sekolah itu, Perdana Menteri bergegas pula ke Hospital Bukit Mertajam bagi meninjau keadaan hospital berusia 130 tahun itu, termasuk mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) yang diterima hospital tersebut baru-baru ini.

Pemimpin nombor satu negara itu juga dijadualkan menghadiri program Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Kubang Semang di sini dan seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Kubang Semang.

Anwar kemudiannya dijadual kembali ke Putrajaya bagi menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 4.30 petang ini, yang akan dihadiri kira-kira 7,000 tetamu termasuk penjawat awam, pesara dan veteran serta badan bukan kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan