AM

SEKTOR PERUNCITAN DI MELAKA SEMAKIN BERKEMBANG - AB RAUF

31/08/2024 06:38 PM

MELAKA, 31 Ogos (Bernama) -- Sektor peruncitan di Melaka terus menunjukkan perkembangan positif dengan pembukaan lebih banyak pasar raya premium berkonsepkan secara kendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia sekali gus menunjukkan pertumbuhan ekonomi dan kuasa pembeli di Melaka yang semakin melonjak. 

"Seperti hari ini, pembukaan Jaya Grocer yang pertama di Melaka dan cawangannya ke-51 dilihat mampu memperkayakan landskap peruncitan di negeri ini. 

"Kehadiran pasar raya premium secara 'stand alone' (secara kendiri) sebegini sudah tentu selari dengan visi kerajaan negeri dalam menyediakan akses kepada produk dan perkhidmatan bermutu tinggi kepada penduduk tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pasar raya tersebut di Klebang di sini hari ini. 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer Adelene Foo. 

Ab Rauf berkata pembukaan cawangan pasar raya di Klebang itu juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar memandangkan kawasan tersebut merupakan sebahagian daripada tapak pembangunan zon ekonomi baharu. 

"Seperti yang kita tahu juga, Melaka mempunyai 23 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),  pastinya kita kena menyediakan dahulu sumber-sumber tenaga kerja ini berdasarkan permintaan industri yang bakal masuk dan pembukaan pasar raya sebegini adalah kaedah ni terbaik untuk menyediakan peluang pekerjaan yang pelbagai," katanya. 

Dalam pada itu beliau berkata pasar raya tersebut yang menonjolkan konsep dan reka bentuk Peranakan juga akan menjadi tarikan bukan sahaja kepada pembeli tempatan tetapi juga pelancong dari luar negara. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan