AM

TAIWAN EXCELLENCE ECO FUN FAIR GALAK KESEDARAN, KELESTARIAN EKOLOGI

01/09/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kira-kira 200 peserta berhimpun di Taman Botani Perdana di sini hari ini untuk memeriahkan Taiwan Excellence Eco Fun Fair, yang bertujuan mempromosikan perlindungan dan kelestarian ekologi.

Pengarah Pusat Dagangan Taiwan Kuala Lumpur Eva Peng berkata acara sehari itu merupakan lanjutan komitmen berterusan Taiwan Excellence terhadap kelestarian alam sekitar dan dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen Bulan Bumi.

Beliau berkata acara berkenaan disertai antaranya tujuh syarikat Taiwan yang memenangi anugerah, memaparkan produk inovatif mesra alam seperti kamera kertas oleh Paper Shoot, pinggan mangkuk boleh kompos diperbuat daripada tebu (RENOUVO) dan filem penggelap rendah karbon (Uplus).

"Kami juga mengalu-alukan syarikat inovatif lain seperti Mbran Filtra yang menawarkan penulen air mudah alih luar terkecil di dunia, ADATA yang terkenal dengan pemacu keras luaran PCR yang mesra alam, VAGO memaparkan pam vakum kecil dan FECA yang menampilkan pelbagai produk cawan sedutan," katanya.

Selain mempamerkan produk, beliau berkata Taiwan Excellence juga menjemput Kawan Guni, sebuah perusahaan kitar semula tempatan yang berpangkalan di Johor Bahru untuk mengadakan sesi ceramah mengenai pengelasan dan kitar semula sisa.

"Peserta juga terlibat dalam aktiviti amali menggunakan kertas boleh tanam yang boleh dibawa pulang dan digunakan untuk menanam tumbuhan baharu, seterusnya menggalakkan kesedaran dan tindakan alam sekitar," katanya.

Peng berkata Taiwan Excellence turut bekerjasama dengan Seeds Malaysia, satu lagi perusahaan sosial tempatan, untuk menanam 50 batang pokok di Al-Kadeem Academy di Shah Alam, Selangor pada 11 Sept ini, sebagai tanda kerjasama masa depan antara Malaysia dengan Taiwan.

Beliau berkata kempen Bulan Bumi disertai 2,000 orang dalam pelbagai aktiviti alam sekitar secara dalam talian, menekankan kesan meluas kempen berkenaan.

"Objektif kempen yang dipacu oleh media sosial ini adalah untuk memupuk gaya hidup mesra alam dengan menggalakkan perubahan harian yang boleh membawa kepada hasil positif yang ketara terhadap alam sekitar.

"Sepanjang tempoh 42 hari, sebanyak 3,313 gambar dihantar dan warga siber memberi respons yang positif dengan membuat hantaran mengenai tabiat hijau mereka, daripada mengurangkan penggunaan plastik dan kertas kepada membawa botol air dan beg beli-belah sendiri," katanya.

Peng berkata slogan kempen Bulan Bumi iaitu One Good Habit, Love the Earth selaras dengan inisiatif pembangunan mampan global Taiwan Excellence, yang telah giat dipromosikan di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun dan Asia Tenggara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan