AM

KPWKM CADANG AKTA ANTIGANGGUAN SEKSUAL 2022 DIPINDA UNTUK DITAMBAH BAIK

01/09/2024 05:02 PM

KUCHING, 1 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), dipinda untuk ditambah baik dalam menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.

Sebelum ini, akta berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Okt tahun lepas dan diwartakan 18 Okt tahun yang sama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata di bawah akta itu, tindakan hanya boleh diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan sahaja.

“Cadangan pindaan ini bertujuan untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan pada tahap awal ini, saya secara peribadi meminta perkara ini diteliti dan dikaji untuk dipinda.

“Jika perlu, kita akan buat undang-undang yang lebih ketat, kerana tanpa tindakan yang setimpal ia tidak adil kepada mangsa, tidak kira sama ada wanita atau lelaki,” kata Nancy kepada pemberita selepas merasmikan program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Santubong di sini, hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata setakat ini, sebanyak lapan kes gangguan seksual di seluruh Malaysia telah dibawa ke tribunal untuk diproses dan diselesaikan.

Beliau berkata mereka yang menjadi mangsa gangguan seksual, perlu melaporkan kes mereka melalui platform KPWKM agar tindakan segera dapat diambil.

“Kami berusaha untuk melakukan sesuatu yang adil untuk melindungi mangsa. Masalah kemurungan banyak berlaku di negara kita, dan antara sebabnya adalah kerana kurangnya perlindungan dan tindakan terhadap kes gangguan seksual,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan