AM

PEMBERIAN PAMPASAN KEPADA KELUARGA MANGSA TANAH JERLUS DIBAWA KE MESYUARAT KABINET

01/09/2024 06:02 PM

PUTRAJAYA, 1 Sept (Bernama) -- Cadangan pemberian pampasan kepada keluarga wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu sudah dirancang dan akan dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan.

“Saya ingat nak bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet (untuk dibincangkan) … insya-Allah minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024 di sini hari ini.

Floria Diraja Putrajaya 2024 edisi ke-13 yang melabuhkan tirainya hari ini telah merekodkan sebanyak 800,000 pengunjung sepanjang 11 hari penganjuran.

Semalam, Dr Zaliha berkata kerajaan sedia mempertimbangkan untuk pemberian pampasan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berusia 48 tahun itu yang memasuki hari kesembilan dihentikan, semalam.

Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita dikenali sebagai G. Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata semua permohonan kebenaran merancang pembinaan di ibu kota perlu disertakan dengan laporan geoteknikal yang disediakan oleh konsultan bertauliah.

“Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi arahan pembangunan belum dikeluarkan, serta permohonan yang masih dalam proses dan permohonan yang akan dikemukakan. Langkah ini akan dilaksanakan serta-merta,” katanya.

Ditanya mengenai rangka kerja bagi proses baik pulih tanah jerlus yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan itu, Maimunah berkata ia termasuk pelaksanaan audit integriti, pemeriksaan saluran air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan kajian kekukuhan tanah dari segi geologi di kawasan berkenaan.

“Sebab itu ia memakan masa kerana kita perlukan kajian terperinci iaitu dari pintu gerbang Kampung Baru hingga Mydin (di Jalan Masjid India),” katanya.

Maimunah turut menasihati orang ramai agar mematuhi arahan dan memberi kerjasama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang kerja-kerja pembaikan dijalankan di kawasan terlibat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan