JENAYAH & MAHKAMAH

RASUAH: BEKAS SETIAUSAHA POLITIK HAMZAH ZAINNUDIN AKAN KEMUKA REPRESENTASI

02/09/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengemukakan representasi bagi mengkaji semula tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM700,000 berkaitan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad berkata pihaknya akan mengemukakan representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara bulan ini.

“Kami mohon kepada mahkamah tarikh pengurusan kes kerana pihak kami akan mengemukakan representasi bagi mengkaji semula kesemua pertuduhan.

“Oleh itu mahkamah menetapkan 18 Okt ini untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farhana Ismail memaklumkan kepada Rosli bahawa pihaknya telah mengemukakan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan menerusi e-mel.

“Pihak kami akan mengemukakan 20 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan pada prosiding perbicaraan nanti. Kami mohon tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya.

Md Yunos mengesahkan telah menerima dokumen tersebut dan memohon tarikh pengurusan kes untuk pihaknya mengemukakan representasi bagi mengkaji kesemua pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari iaitu pada 5 hingga 8 Mei 2025, 26 hingga 29 Mei 2025 dan 23 hingga 26 Jun 2025.

Sayed Amir Muzzakkir, 42, didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM700,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, dan di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada 4 petang awal Disember 2020 dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan