AM

41,278 KEMALANGAN BERKAITAN KERJA DILAPORKAN SETAKAT JUN - SIM

02/09/2024 06:59 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Sebanyak 41,278 kemalangan berkaitan kerja dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat Jun tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) di sini hari ini, beliau berkata 52.1 peratus atau 21,503 kes yang dilaporkan merupakan kemalangan industri manakala 19,770 kes berkaitan perjalanan. 

"Tragiknya, 515 kemalangan ini ialah kemalangan maut. Secara spesifiknya 31.7 peratus atau 163 kematian adalah akibat kemalangan industri dan 68.3 peratus atau 352 kematian berkaitan perjalanan," katanya. 

Beliau berkata pada 2023, jumlah tuntutan dibayar di bawah Skim Bencana Kerja, Perkeso bagi kemalangan terbabit melebihi RM1.39 bilion.

Setakat Jun tahun ini, jumlah pembayaran tuntutan adalah hampir RM718 juta.

“Angka-angka ini menunjukkan impak serius dan berterusan kemalangan di tempat kerja pada kehidupan pekerja. Bayaran itu menunjukkan bukan sahaja beban kewangan tetapi juga kesan terhadap manusia (human cost) yang dikaitkan dengan kemalangan ini.

Sim berkata langkah proaktif sangat diperlukan untuk mengurangkan risiko dan membendung kemalangan di tempat kerja yang terus meningkat dengan mengukuhkan protokol keselamatan dan menambah baik keadaan di tempat kerja.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya komited untuk menyokong setiap langkah bagi mengurangkan kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah mangsa maut akibat kemalangan jalan raya ialah 6,443 orang pada 2023. 

“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperbaharui dan mempergiat usaha bagi menangani cabaran keselamatan jalan raya. Kita mesti bertindak tegas untuk menghentikan peningkatan ini dan berusaha ke arah mencapai jalan raya yang lebih selamat untuk semua,” katanya.

Beliau berkata Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030 bertujuan mengurangkan bilangan mangsa maut secara ketara.

"Pelan tindakan tiga tahun pertama (2022–2024) memfokuskan pada mewujudkan platform tadbir urus dan mekanisme untuk secara berkesan memantau dan menilai intervensi keselamatan jalan raya melibatkan 10 bidang.

"Memandangkan kita menghampiri penghujung pelan tindakan pertama ini, sudah tiba masa untuk menyemak kemajuan, memperhalusi strategi dan bersedia untuk rancangan tiga tahun akan datang (2025–2027) bagi mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan