SUKAN

HANYA TIGA BULAN HAMBERI GILAP EDDY

02/09/2024 09:05 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 2 Sept (Bernama) -- Jurulatih pecut skuad olahraga para negara, Hamberi Mahat hanya memerlukan tiga bulan untuk membimbing Eddy Bernard yang menyumbang pingat sulung negara menerusi gangsa 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Hamberi menyifatkan pencapaian dilakar Eddy cukup menakjubkan memandangkan acara pecut itu bukanlah fokus utama anak buahnya yang sebelum ini menyertai lompat jauh sehingga pernah menggondol emas pada Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia.

Bekas pelari pecut negara itu berkata segala-galanya bermula apabila beliau mengesan bakat dimiliki atlet berusia 23 tahun itu yang memiliki kepantasan baik bagi jarak 60 meter (m) ketika beraksi untuk acara lompat jauh.

“Saya ada beritahu kepada jurulatih Shahrul Amri Suhaimi bahawa Eddy ada potensi besar untuk menang pingat di Sukan Paralimpik tapi perlu dorongan lebih dengan menambah kelajuan dan daya tahan memandangkan kelajuan pada 40m terakhir masih kurang baik.

“Selepas merangkul perak 100m lelaki T44 Sukan Para Asia Hangzhou 2022, jurulatih Shahrul ada beritahu saya beliau tidak mampu tolong Eddy untuk acara tersebut pada Paris 2024 dan disebabkan itu beliau menyerahkannya kepada saya sekitar April lepas,” katanya kepada Bernama.

Biarpun hanya lebih sebulan melatih Eddy, Hamberi membuktikan sentuhan magisnya, apabila atlet tersebut berjaya merangkul perak pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih perlu memantapkan lagi teknik larian Eddy bagi jarak 40m terakhir selepas ini.

Seandainya mempunyai persiapan yang lebih rapi, Hamberi optimis atlet dari Beluran, Sabah itu mampu lebih menyinar dengan merangkul emas atau perak Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Beliau pada masa sama amat mengagumi komitmen tinggi Eddy sepanjang sesi latihan dan usahanya benar-benar berbaloi selepas menjelmakan pingat sulung buat negara di kota Paris.

Bukan sahaja memperoleh gangsa pada penampilan sulungnya di pentas Paralimpik, malah catatan 11.58 saat (s) dilakukan Eddy memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024.

Pingat emas pada aksi semalam disambar wakil Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan 11.20s.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan