AM

TARIK MINAT GOLONGAN MUDA SERTAI STEM PERLU KERJASAMA SEMUA PIHAK - ZAMBRY

02/09/2024 09:31 PM

GEORGE TOWN, 2 Sept (Bernama) -- Usaha menarik minat golongan muda untuk menyertai aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak boleh diletakkan pada bahu kementerian pendidikan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama dan keterlibatan semua pihak, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk mewujudkan minat dalam bidang STEM bermula di peringkat sekolah yang menjadi antara isu utama ketika ini.

“Tanggungjawab kita sekarang ialah mewujudkan minat dalam kalangan pelajar bagi memastikan mereka akan memasuki aliran sains terutamanya bidang STEM, sebenarnya ini adalah antara isu utama kita sekarang, tetapi bagaimanapun kita sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak supaya minat dalam kalangan pelajar-pelajar untuk masuk ke dalam bidang STEM dapat dipertingkatkan.

“Jadi dalam hal ini, kita tidak boleh hanya memberikan tanggungjawab itu kepada Kementerian Pendidikan semata-mata, ia mesti ada satu hubungan bersifat sinergi yang mempunyai kesinambungan bukan hanya di peringkat Kementerian Pendidikan yang memberikan tumpuan kepada sekolah rendah dan juga peringkat menengah, tetapi juga di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya pada sidang media di Pusat Inkubasi Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke SAINS@USM dan Oppstar Technnology Sdn Bhd bagi melihat perkembangan kerjasama strategik USM dengan industri dalam memperkasakan industri elektrik dan elektronik negara dalam reka bentuk litar bersepadu (IC design).

Dalam pada itu, Zambry berkata permintaan terhadap industri terutama berkaitan teknologi ketika ini amat tinggi justeru tenaga mahir diperlukan bagi mengisi keperluan dalam bidang tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata hubungan tiga hala antara industri, universiti dan kerajaan, penting bagi menghasilkan impak besar dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran.

“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi kita membuka ruang seluas-luasnya kepada penyelidik-penyelidik tempatan yang lahir daripada universiti untuk memastikan mereka dapat mengeluarkan hasil-hasil yang baik khususnya dalam dunia semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan