SUKAN

DUA BEKAS MENTERI KBS SERTAI KOTA BHARU HALF MARATHON 2024

04/09/2024 01:03 AM

KOTA BHARU, 3 Sept (Bernama) -- Dua bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara 2,055 peserta yang bakal memeriahkan Kota Bharu Half Marathon (KBHM) 2024 Sabtu ini. 

Penasihat Yayasan Kota Bharu Care yang juga penganjur Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kedua-dua mereka sudah pun membuat pengesahan untuk menyertai acara itu baru-baru ini.

"Kali terakhir program larian sejauh 21.1 kilometer (km) itu diadakan pada 2017 dan kita harap penganjuran kali ini akan berjaya sekali gus merancakkan Tahun Melawat Kelantan 2024," katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini hari ini.

KBHM 2024 yang bermula seawal 4 pagi di Padang Perdana Jalan Mahmood di sini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 21.1km (separuh maraton), 10km dan 5km (larian ria) dengan semua peserta akan menerima pingat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan