AM

JABATAN KESIHATAN PAHANG TERIMA 45 AMBULANS BAHARU

04/09/2024 12:56 PM

KUANTAN, 4 Sept (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menerima sebanyak 45 ambulans baharu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menaik taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit di negeri itu. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penerimaan ambulans itu adalah secara berperingkat dengan permulaan sebanyak lapan unit jenis A bernilai RM3.64 juta telah dibekalkan kepada beberapa hospital di negeri ini pada 21 Ogos lepas. 

Beliau berkata bakinya sebanyak 37 ambulans jenis B yang turut dilengkapi dengan peralatan perubatan akan dibahagikan kepada dua fasa iaitu pada Nov ini dan Julai tahun depan. 

“Saya dimaklumkan peralatan yang ada di ambulans Type A adalah sangat canggih dan bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada KKM atas pemberian ini. Ini jelas menunjukkan betapa komited kerajaan yang ada pada hari ini untuk memberikan kemudahan dan keselesaan demi kesejahteraan rakyat. 

“Pemberian ambulans ini mengikut keutamaan dan keperluan, jadi saya harap ia dapat digunakan sebaik mungkin untuk memberi manfaat dan kebaikan buat rakyat. Pemberian ini (ambulans) bukan satu pengakhiran, insya-Allah ke depan akan ada lagi kemudahan sebegini, kita akan teruskan tetapi secara berperingkat,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyempunakan majlis penyerahan lapan ambulans kepada pengarah hospital di enam daerah negeri ini di perkarangan Wisma Sri Pahang di sini yang turut dihadiri Pengarah JKN Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Enam hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dengan masing-masing menerima dua unit ambulans, Hospital Pekan, Hospital Bentong, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands.

“Pihak kerajaan negeri sangat menghargai usaha JKN Pahang dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan di negeri ini dan mengharapkan lebih banyak lagi inisiatif KKM dalam meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan