EKONOMI

HARI EKSPORT SELANGOR MEDAN LAHIR USAHAWAN BERKUALITI, PERKUKUH SUMBANGAN NEGERI

04/09/2024 06:23 PM

SHAH ALAM, 4 Sept (Bernama) -- Penganjuran Hari Eksport Selangor 2024 diyakini mampu melahirkan lebih banyak usahawan berkualiti dan seterusnya memperkukuh kedudukan Selangor sebagai antara negeri penyumbang utama eksport negara.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Hazimah Zainuddin berkata Selangor juga merupakan penyumbang terbesar jumlah perdagangan di Malaysia bagi 2023 bernilai RM491.86 bilion atau 29.8 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM1.652 trilion.

Selain itu, Selangor juga adalah negeri ketiga terbesar dari segi eksport dengan nilai eksport sebanyak RM332.79 bilion atau 23.3 peratus pada tahun lepas.

"Usaha gigih Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta kerjasama kerajaan negeri menyaksikan Selangor kekal sebagai negeri ketiga pengeksport utama Malaysia bagi tempoh Januari-Julai tahun ini yang bernilai RM203.66 bilion,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Eksport Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Perasmian acara dua hari anjuran bersama MATRADE, UPEN Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu telah disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi.

Hazimah juga berharap penganjuran acara itu dapat mempertingkat jumlah perdagangan Selangor serta mewujudkan lebih banyak syarikat yang menceburi perniagaan eksport.

Bagi tempoh sehingga 31 Julai lepas, sebanyak 13,454 syarikat tempatan telah berdaftar dengan MATRADE dengan 6,162 atau 46 peratus daripadanya merupakan syarikat-syarikat dari Selangor manakala 97 peratus pula berstatus perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Beliau berkata sebanyak 1,123 syarikat Selangor turut mendapat manfaat program khas pembangunan pengeksport dan fasilitasi perdagangan disediakan MATRADE bagi tempoh Januari 2023 sehingga sekarang.

"Geran berjumlah RM374.10 juta telah disalurkan kepada syarikat terbabit yang berjaya menjana jualan eksport bernilai RM14.48 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, Hazimah menggesa agar lebih banyak syarikat-syarikat berpotensi di Selangor untuk berdaftar dengan MATRADE dan menikmati keistimewaan seperti khidmat nasihat perdagangan, akses kepada risikan pasaran dan maklumat perdagangan.

Manfaat lain termasuk pendedahan kepada program pembangunan seperti latihan dan bengkel-bengkel berkenaan eksport serta peluang menyertai aktiviti promosi anjuran agensi itu, katanya.

Sementara itu, Mohd Najwan menyifatkan Hari Eksport Selangor sebagai platform terbaik bagi mewujudkan lebih banyak pengeksport dalam kalangan usahawan negeri yang mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan Selangor dalam aspek sumbangan kepada kitaran ekonomi negara.

Beliau turut meminta 246 peserta program itu untuk memanfaatkan sepenuhnya platform berkenaan bagi meneroka dan menimba ilmu baharu mengenai kaedah dan prospek eksport produk selain membina jaringan sesama usahawan serta kakitangan MATRADE yang arif dalam hal berkaitan.

 "Gunakan peluang ini untuk memperluas perniagaan dan lengkapkan diri dengan ilmu keusahawanan yang komprehensif melalui pelbagai program serta modul disediakan, terutama dalam mengadaptasi teknik-teknik baharu mengharungi cabaran era ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan