AM

NGA UCAP TAHNIAH IPOH MENANG ANUGERAH KEHORMAAT UN HABITAT

04/09/2024 09:30 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan rakan kerjasama mereka kerana kejayaan meraih Anugerah Skrol Kehormat UN-Habitat 2024  bagi Program Ipoh Bandar Ekonomi Donat.

Beliau berkata anugerah berpestij itu mencerminkan pencapaian cemerlang Malaysia dalam pembangunan bandar mampan di peringkat global.

“Kejayaan MBI ini merupakan detik yang membanggakan negara sebagai membuktikan komitmen kita terhadap penyelesaian bandar yang mampan dan inklusif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Program Ipoh Bandar Ekonomi Donat merupakan inisiatif bersama melibatkan Pusat Kesihatan Planetari Sunway University (SCPH), Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT) dan MBI.

Dilancarkan pada Mac 2023 dengan geran daripada Yayasan Hasanah, program itu bertujuan menjadikan Ipoh sebagai “Bandar Donat” yang menumpu kepada pembangunan mampan. 

Kenyataan itu juga memaklumkan, Malaysia kini giat menawarkan diri untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029, dengan menekankan kejayaannya dalam pembangunan dan kemampanan bandar global. 

Pada Julai lepas, Nga menyatakan para pegawai China, semasa mesyuarat dua hala sempena Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH), melahirkan sokongan mereka bagi pencalonan Malaysia ke jawatan itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan